Pages

Friday, July 15, 2011

SPR anggap desakan Bersih sebagai ugutan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan desakan pemimpin Bersih dan parti pembangkang supaya kerajaan menambah baik sistem pilihan raya termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja sebagai ugutan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata apabila Bersih mahu mengemukakan memorandum mengandungi lapan tuntutan kepada Yang di-Pertuan Agong, adalah wajar semua pihak menunggu reaksi atau kenyataan beliau dan tidak mengambil tindakan, termasuk mendesak atau mengugut kerajaan.

'Jika Bersih beriya-iya mahu mengemukakan lapan tuntutan kepada Yang di-Pertuan Agong, tunggu dulu jangan buat sebarang desakan yang boleh dilihat sebagai ugutan. Tindakan itu tidak wajar kerana Tuanku belum melihat memorandum.

'Mereka seolah-olah tidak menghormati istana, sebarang desakan atau yang berbaur ugutan tidak menyelesaikan masalah, itu bukan budaya kita,' kata Tan Sri Abdul Aziz.

SPR turut mempertikaikan campur tangan pemimpin pembangkang, termasuk Parti Islam Semalaysia (PAS), sekali gus mempertikaikan ketelusan Bersih dalam mengendalikan tuntutan yang sebelum ini mendakwa tidak dipengaruhi mana-mana parti politik.

'Pengerusi Bersih (Datuk S. Ambiga) memberitahu saya mereka tidak dipengaruhi parti politik, sebaliknya mereka bergerak bebas dan tidak menyebelahi mana-mana pihak, tetapi saya hairan kenapa Timbalan Presiden PAS (Encik Mohamad Sabu) boleh memberi kata dua kepada kerajaan sedangkan Bersih yang berurusan dengan SPR,' katanya kelmarin.

Selasa lalu, PAS memberi kata dua kepada kerajaan bahawa parti itu akan mendesak Bersih menganjurkan demonstrasi jalanan sekali lagi jika SPR gagal memenuhi tuntutan apa yang didakwa sebagai penambahbaikan proses pilihan raya.

Bersih pula mendesak Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi meneliti secara keseluruhan sistem pilihan raya di negara ini.

Mengulas lanjut, Tan Sri Abdul Aziz berkata SPR sentiasa membuat perubahan bagi kebaikan dan manfaat semua pihak, selain bersikap terbuka menerima pandangan, cadangan dan kritikan membina, termasuk di kalangan pemimpin lebih 30 parti politik di negara ini.

Malah, daripada 17 tuntutan dikemukakan Bersih, hanya lapan masih pada peringkat perbincangan.

Daripada jumlah itu, hanya empat yang ada kaitan dengan SPR iaitu menuntut senarai daftar pemilih dibersihkan, menggunakan dakwat kekal, menghapuskan undi pos dan memanjangkan tempoh kempen pilihan raya. -- BHM.

Cyberita Online Luar Negara

No comments: