Pages

Friday, July 15, 2011

2 warga emas ditinggalkan



SENAI- Dua warga emas memohon agar keluarga mereka menjemput mereka pulang semula dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Kedua-dua warga emas itu dipercayai ditinggalkan individu yang mengenali mereka di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah perhentian bas dan kedai kopi di Taman Ungku Tun Aminah, baru-baru ini.

Warga emas terbabit, Ng Kok Ting, 72, dan Woon Sang Chew, 56, kini ditempatkan di Pusat Jagaan Orang Tua Ceria.

Kok Ting dipercayai dihantar oleh individu yang dikenalinya dengan menaiki teksi sebelum ditinggalkan di sebuah kedai kopi sehari suntuk sebelum pemilik premis menghubungi pusat jagaan itu dan menyerahkannya.

Manakala Sang Chew pula ditinggalkan di sebuah perhentian bas di taman perumahan berkenaan sebelum orang awam yang melihatnya mundar mandir di situ menghubungi pusat jagaan terbabit.

Kedua-dua mereka didapati masih sihat dan tiada sebarang tanda-tanda cacat dan cela.

Menurut Sang Chew yang telah kematian dua anak dan suami, dia mahu mencari ibunya, Chong Chin You yang kini berusia lingkungan 70-an dan dipercayai berada di salah satu daerah iaitu di Kota Tinggi, Kulaijaya dan Mersing.

"Saya diserahkan kepada keluarga angkat sejak berumur tiga tahun kerana keluarga saya orang susah dan adik beradik ramai.

"Saya masih ingat semasa umur belasan tahun ada bertemu dengan emak sekali sahaja dan kemudian hubungan terputus dan kini berharap dapat bertemu emak dan saya ingin meminta maaf kepadanya, begitu juga adik-adik saya yang lain," katanya yang merupakan anak sulung daripada 13 beradik.

Salah seorang pekerja pusat jagaan itu, Ng Chee Lim berkata, pihaknya sudah berusaha untuk mengesan ahli keluarga kedua-dua warga emas itu berpandukan maklumat yang diberikan melalui perbualan mereka bersama kedua-dua warga emas itu.

"Ingatan mereka tidak begitu baik dan sebab itu, jawapan diterima berbeza-beza. Itu men�yukarkan pihak kami mengesan ahli keluarga mereka," katanya pada sidang akhbar di Kelab Media Cina Johor Bahru Selatan, Taman Pelangi, kelmarin.

Orang ramai yang mengenali dan mempunyai maklumat lanjut mengenai kedua-dua keluarga terbabit diminta hubungi talian 019-7111516 atau pusat jagaan terbabit di talian 012-7079191.
SH

No comments: