Pages

Saturday, July 16, 2011

Majikan minta ganti rugi




MOHD. RIZAL menunjukkan surat pengesahan rawatan penyakitnya pada
sidang akhbar di Kangar semalam.


KANGAR - Sudahlah tidak menerima pampasan diberhentikan kerja, sebaliknya diarahkan pula membayar ganti rugi sebanyak RM9,013.77 oleh majikannya yang merupakan sebuah bank swasta terkemuka di negara ini. Itulah keluhan Mohd. Rizal Rasti@Roni, 37, yang diberhentikan kerja ketika dalam cuti sakit melalui satu notis daripada majikannya pada Mac lalu berkuat kuasa 6 Disember tahun lalu.

Menurut bapa empat orang anak itu, majikannya bertindak memberhentikannya setelah mereka tidak dapat menerima penjelasannya ekoran sering mengambil cuti sakit disebabkan penyakit ulser perut dan ketumbuhan hidung yang dihidapi. "Penyakit tersebut dihidapi sejak April 2010 lalu dan melarat sehingga kini menyebabkan saya terpaksa mengambil banyak cuti sakit untuk melakukan dua pembedahan hidung dan berehat.

"Saya kecewa dengan tindakan majikan yang tidak bersimpati dengan keadaan saya. "Lebih malang, syarikat minta saya pula bayar ganti rugi hampir RM10,000," katanya pada pemberita di rumah Kelab Media Perlis (KEMPs) di sini semalam. Mohd. Rizal yang bertugas sebagai pembantu am rendah selama 16 tahun di sebuah syarikat perbankan di Changlun, Kedah itu memberitahu, ganti rugi yang diminta majikannya itu meliputi bayaran kerja lebih masa, cuti sakit, cuti perayaan dan bonus yang telah dibayar syarikat kepadanya sebelum ini.

"Saya bukan sengaja hendak ambil cuti sakit tetapi sejak disahkan menghidap ulser perut dan ketumbuhan hidung tahun lalu, saya tidak berupaya untuk bekerja apa lagi selepas menjalani dua pembedahan. "Majikan sepatutnya simpati dengan keadaan saya, lebih-lebih lagi saya telah berkhidmat selama 16 tahun. Tetapi alasan mereka mengatakan yang saya tidak memasukkan cuti sakit ke dalam sistem fail syarikat adalah tidak munasabah," katanya. Katanya, dia mengakui tidak memasukkan cuti sakit itu dalam sistem syarikat kerana ketika itu dia sedang bercuti di rumah untuk berehat dan baru selesai menjalani rawatan di Kedah Medical Centre Alor Setar, Kedah pada Dismber lalu.

"Ekoran diberhentikan kerja, saya kini tiada pendapatan dan hanya bergantung pemberian wang sara diri daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. "Saya amat berharap akan mendapat pembelaan yang setimpal dengan tindakan majikan saya itu," ujarnya. Tambahnya, isterinya yang bekerja di sebuah tadika swasta kini terpaksa menyara dirinya dan empat orang anaknya berusia 12 sehingga 7 tahun yang masih bersekolah.

Kosmo! Online - Negara

No comments: