Pages

Saturday, July 16, 2011

Lelaki didakwa bunuh gadis


GAMBAR fail menunjukkan seorang lelaki melihat tempat cebisan mayat Nur Rahayu ditemui di Tanah Perkuburan Hindu, Masai.


JOHOR BAHRU - Seorang pengawal keselamatan semalam didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh Nur Rahayu Qomarodin yang mayatnya ditemui dibakar di ladang kelapa sawit Sungai Masai 18 Jun lalu. D. Kalaiselvan, 46, bakal berdepan dengan hukuman gantung sampai mati selepas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Hafizah Johor Arif Johor.

Kalaiselvan bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan sebaik mendengar pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Nur Rahayu, 16, di ladang yang terletak di Jalan Masai-Kong Kong, Masai di sini di antara pukul 2.30 hingga 2.50 pagi pada 18 Jun lalu. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Keluarga mangsa turut melantik peguam, Khairul Azwad Sariman sebagai pemerhati bagi kes tersebut. Hafizah Johor menetapkan 20 September depan sebagai tarikh untuk sebutan semula kes. Pada 5 Julai lalu, Kosmo! melaporkan, Nur Rahayu yang dilaporkan hilang sejak 18 Jun lalu ditemui dibunuh dan dibakar sebanyak dua kali sebelum cebisan mayatnya ditemui di Tanah Perkuburan Hindu, Masai dekat sini.

Mayat Nur Rahayu dibakar di dua lokasi berasingan iaitu Sungai Tiram dan di tanah perkuburan tersebut yang jarak di antara kedua-duanya kira-kira 20 kilometer bagi menghilangkan bukti. Rumah mangsa pula terletak di Bandar Sri Alam, Masai iaitu kira-kira 40 kilometer dari lokasi mayat Nur Rahayu ditemui. Ketika ditemui, mayat anak pengusaha kantin di sebuah kuari di Masai hanya tinggal cebisan rambut, baju dan selipar.

Kosmo! Online - Negara

No comments: