Pages

Friday, July 8, 2011

Iraq jumpa kubur besar

DIWANIYAH 7 Julai - Pihak berkuasa Iraq menemui 900 rangka mayat manusia di dalam sebuah kubur besar berdekatan bandar Diwaniyah, semalam, dipercayai mayat penduduk Kurdis yang dibunuh semasa pemerintahan bekas Presiden Saddam Hussein.

Menurut Pengarah Suruhanjaya Keadilan dan Akauntabiliti, Dakhil Saihoud, kesemua rangka tersebut ditemui di kawasan Shanafiya yang terletak 70 kilometer di barat Diwaniyah.

"Rangka-rangka tersebut ditanam dalam sebuah parit. Maklumat awal menunjukkan kesemua 900 rangka manusia itu merupakan penduduk Kurdis dan rangka tersebut dipindahkan ke makmal di bandar Najaf untuk dikenal pasti," jelasnya.

April lalu, pihak berkuasa menemui sebuah kubur besar di wilayah Anbar dan menemui lebih 800 rangka mayat manusia termasuk rangka mayat wanita dan kanak-kanak yang dibunuh semasa pemerintahan rejim Saddam.

Semasa perang Iraq-Iran dari 1980 hingga 1988, askar yang lari dari medan perang dihukum dan pemerintah Iraq ketika itu mengenakan tindakan keras terhadap pengikut Syiah yang disyaki bersimpati dengan Iran yang majoritinya pengikut Syiah.

Penduduk Kurdis sering dihukum bunuh kerana mereka penentang utama Saddam.

Menurut sumber, jumlah individu yang hilang semasa pemerintahan Saddam, yang berkuasa sejak 1979 adalah antara 300,000 hingga 1.3 juta orang.

Kumpulan hak asasi manusia percaya terdapat beratus-ratus kubur besar di Iraq bagi menanam mayat-mayat penduduk yang dibunuh sepanjang pemerintahan Saddam.

Sejak pencerobohan tentera bersekutu diketuai Amerika Syarikat di Iraq, kira-kira 263 kubur besar telah ditemui di Iraq termasuk 40 kubur yang mengandungi bukti menunjukkan pembunuhan secara sistematik dilakukan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: