HULU SELANGOR: Dua beradik lelaki sanggup memukul dan menghentak kepala bapa mereka menggunakan kerusi dan kayu hanya kerana dinasihati bapanya itu supaya mencari kerja di rumah mereka di Bukit Sentosa di sini, pagi kelmarin.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 9 pagi itu bermula selepas kedua-dua beradik berusia 20 dan 22 tahun itu tiba-tiba naik angin apabila tidur mereka diganggu bapanya yang mengejutkan mereka supaya bangun dan pergi mencari apa-apa pekerjaan.
Menurut sumber, mangsa berusia lewat 40-an sering menasihati kedua-dua anak lelakinya itu supaya mencari pekerjaan memandangkan keadaannya yang sering tidak sihat.
Malah, mangsa yang bekerja sebagai juruteknik dikatakan sering bercuti sakit menyebabkan dia mahu berhenti kerja selepas kedua-dua anak lelakinya itu mempunyai kerja.
“Bagaimanapun, mangsa yang mahu keluar bekerja menyedari kedua-dua anak lelakinya itu sedang tidur di dalam sebuah bilik lalu mengejutkan mereka supaya bangun dan keluar mencari pekerjaan,” katanya.
Malangnya, tindakan mangsa membawa padah apabila seorang daripada anaknya bangun dari katil dan mengambil kerusi sebelum menghentak kepala bapanya.
“Mangsa cuba melawan, namun seorang lagi anak lelakinya mengambil kayu dan turut memukul kepala bapanya itu,” katanya.
Sumber berkata, isteri mangsa yang juga seorang suri rumah hanya mampu melihat dan menyuruh mangsa beredar kerana bimbang dipukul lagi.
Berikutan itu, mangsa ke balai polis berhampiran membuat laporan berhubung kejadian itu kerana bimbang keselamatannya.
No comments:
Post a Comment