Pages

Wednesday, June 15, 2011

Serah kembar kurus kering


LIHAT...Sidatol’ Aini melihat keadaan seorang daripada kembar yang disyaki didera.
LIHAT...Sidatol’ Aini melihat keadaan seorang daripada kembar yang disyaki didera.



TIDUR... seorang kembar dimasukkan dalam wad.
TIDUR... seorang kembar dimasukkan dalam wad.

MELAKA: Tindakan seorang bapa menyerahkan tiga anaknya termasuk sepasang anak kembar berusia empat tahun untuk dijaga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Tengah, dekat sini, Isnin lalu, atas alasan tidak mampu menjaga mereka menimbulkan tanda tanya kemungkinan kanak-kanak berkenaan disyaki didera dengan tidak diberi makan berikutan fizikal mereka yang terlalu kurus.
Difahamkan, lelaki berusia 34 tahun dari Hutan Perca, Alor Gajah mendakwa tidak mampu menjaga anaknya kerana bekerja sebagai pekerja am di syarikat swasta.

Curiga dengan keadaan fizikal ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan, pegawai JKM menghantar mereka menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Melaka.
Penolong Pengarah Bahagian Kanak-kanak JKM negeri, Sidatol’ Aini Jafri berkata, setakat ini pihaknya tidak dapat memastikan sama ada ketiga-tiga kanak-kanak terbabit didera atau mengalami kekurangan zat makanan dan masih menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital.

“Pasangan kembar bersama abangnya berusia enam tahun diserahkan kepada JKM oleh bapa mereka yang bekerja sebagai pekerja am.

“Lelaki itu menyatakan dia tidak mampu menjaga anaknya,” katanya ketika melawat kanak-kanak berkenaan di Hospital Melaka.
Menurutnya, lelaki berkenaan memperoleh hak jagaan terhadap ketiga-tiga anaknya daripada mahkamah syariah selepas bercerai dengan isterinya baru-baru ini sebelum berkahwin dengan wanita lain.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan kronologi kes itu, ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan pada mulanya diserahkan ibu kandung mereka ke Pejabat Kebajikan Daerah Melaka Tengah pada 8 Julai 2010 ditempatkan di institusi JKM atas alasan tidak mampu menjaga mereka.
Katanya, kanak-kanak berkenaan ditempatkan sementara di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras, Kuala Lumpur sehingga Mahkamah Kanak-Kanak bersidang pada 5 Ogos 2010.

“Kanak-kanak berkenaan diperintahkan majistret diletak di bawah jagaan bapa kandung mengikut Seksyen 30 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dengan membayar bon jaminan RM1,500 tanpa cagaran selama dua tahun.

“Mahkamah turut mengenakan syarat penjaga mesti hadir bersama kanak-kanak itu bagi seliaan di hadapan pelindung kanak-kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Alor Gajah bagi tempoh dua tahun, manakala ibu kandung dibenarkan melawat mereka,” katanya.

Sidatol’ Aini berkata, bapa kandung dan ibu tiri bersetuju menjaga kanak-kanak di hadapan Majistret Mahkamah Kanak-Kanak Melaka kerana pernah menjaga mereka pada usia enam bulan bagi tempoh tiga bulan.

“Sepanjang tempoh seliaan ibu bapa, kanak-kanak itu ada dibawa berjumpa pelindung dua kali dan mereka dihantar menjalani pemeriksaan doktor kerana dikatakan kurang selera makan sehingga menyebabkan anak pertama diserahkan kepada nenek untuk dijaga kerana khuatir keadaan mereka.

“Ibu bapa kanak-kanak memberitahu doktor mengesahkan mereka sihat dan tidak mengalami masalah kesihatan,” katanya.

Katanya, JKM mengambil alih penjagaan kanak-kanak berkenaan dan pemeriksaan dilakukan mendapati mereka terlalu kurus disyaki kekurangan makanan.

“Keadaan itu mencurigakan dan kami menghantar mereka ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan. Namun, kami tidak boleh membuat sebarang kesimpulan sebelum mendapat laporan perubatan daripada doktor.

“Pada masa sama, kami tidak menolak kemungkinan berlaku penderaan berdasarkan keadaan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tidak terdapat tanda penderaan fizikal terhadap kanak-kanak terbabit dan menegaskan perbuatan tidak memberi makan juga ditakrifkan sebagai penderaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Pekan Kecil, Pemulihan Projek dan NGO negeri, Datuk Seet Har Cheow berkata, pihak berkuasa perlu menunggu laporan perubatan kanak-kanak berkenaan sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Kes ini dikendalikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Norpipah Abdol,” katanya.myMetro | Serah kembar kurus kering

No comments: