Pages

Wednesday, June 15, 2011

Mualaf mangsa tipu pakej umrah murah


KHALID menunjukkan slip bank sebagai bukti pembayaran ketika membuat tuntutan di TTPM, di Kuantan, semalam.
KHALID menunjukkan slip bank sebagai bukti pembayaran ketika membuat tuntutan di TTPM, di Kuantan, semalam.

Agensi pelancongan diarah bayar balik dalam tempoh 14 hari

KUANTAN: Malang berganda buat seorang pemandu teksi mualaf yang bukan saja gagal menunaikan umrah bersama isteri dan ibunya, tetapi kerugian RM9,600 apabila agensi pelancongan menguruskan pakej umrah gagal memulangkan semula wang selepas beliau membatalkan hasratnya.
Khalid Abdullah, 57, bekerja sebagai pemandu teksi berkata, beliau terpaksa berbuat demikian selepas syarikat terbabit gagal mendapatkan visa untuk beliau dan isterinya sebaliknya syarikat itu mendakwa memperoleh visa ibunya.
Katanya, beliau tertarik menyertai pakej umrah disediakan syarikat berkenaan selepas dimaklumkan seorang penumpang bahawa syarikat terbabit menawarkan harga murah untuk mualaf.

“Saya membuat tempahan dengan syarikat itu pada hujung Disember lalu dan kami dikenakan bayaran RM10,400 pada mulanya iaitu masing-masing RM2,200 untuk saya dan ibu memandangkan kami mualaf, manakala isteri pula sebanyak RM6,000.

‘Saya kemudian membuat bayaran deposit untuk tiga orang sebanyak RM2,400 sebelum kami menyertai kursus dianjurkan mereka pada Januari lalu,” katanya ketika ditemui selepas membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) negeri, di sini, semalam.

Katanya, pada 7 Februari lalu, syarikat berkenaan memintanya membayar baki RM8,000 dan mereka dijadual berangkat menunaikan umrah pada 11 Mac lalu namun tarikh berkenaan ditunda sebanyak dua kali, iaitu pada 25 Mac dan 4 April lalu.
Khalid berkata, penganjur kemudian memaklumkan bahawa hanya ibunya mendapat kelulusan visa manakala beliau dan isteri tidak memperolehnya.

“Bagi memujuk kami, syarikat memberi diskaun sebanyak RM800 namun ibu tidak mahu pergi bersendirian menyebabkan kami mengambil keputusan membatalkan tempahan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, masalah dihadapi Khalid berakhir semalam apabila Presiden TTPM, M Suppiah mengarahkan syarikat terbabit memulangkan bayaran itu dalam tempoh 14 hari. Berita Harian Online | Mualaf mangsa tipu pakej umrah murah

No comments: