Pages

Wednesday, June 15, 2011

Nilai banglo dibeli Khir RM5.6j

Harga pasaran dibuat saksi berdasarkan laporan penilaian firma lain

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu nilai pasaran ketika dua lot tanah dan banglo di Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, di sini, yang dibeli bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo ialah RM5.55 juta.

Saksi Pendakwaan Kelapan, Penilai Kanan Hartanah di syarikat perunding aset antarabangsa, Henry Butcher Malaysia, Long Tian Chek, 54, berkata nilai pasaran itu dibuatnya berdasarkan laporan penilaian sebuah lagi firma penilaian, Rahim & Co, yang dibekalkan kepadanya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2009.
Ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar pada pemeriksaan utama, semalam, katanya beliau diminta suruhanjaya itu membuat penilaian terhadap harga pasaran hartanah berkenaan pada 31 Julai 2009 bagi melihat berapa nilai pasarannya pada 14 Mei 2007.

Tian Chek memberitahu mahkamah, beliau menggunakan maklumat perbandingan berdasarkan laporan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada 2007.

“Lot tanah dinilai sebagai RM2.35 juta dan bangunan dinilaikan pada RM3.2 juta. Jumlah keseluruhan nilai pasaran RM5.55 juta.

“Nilai pasaran ialah harga dipersetujui penjual serta pembeli tanpa paksaan dan penjual tidak dipaksa menjual hartanya di bawah harga pasaran,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Mohtarudin Baki.
Tian Chek memberi keterangan perbicaraan terhadap Dr Mohamad Khir yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, mendapatkan bagi dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, pada harga RM3.5 juta sedangkan hartanah itu dibeli Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) dengan harga RM6.5 juta pada 23 Disember 2004.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, di sini, pada 29 Mei 2007.

Tian Chek berkata, penilaian berkenaan dibuat menggunakan kaedah perbandingan dengan hartanah lain yang sama dijual di kawasan berkenaan.

“Kami menggunakan empat perbandingan lot banglo kosong yang kesemuanya berada di Seksyen 7. Tiga daripadanya ( dijual pada) 2007 dan satu (dijual pada) 2009.

“Antara Februari hingga April 2007, harga bagi setiap kaki persegi ialah antara RM50 hingga RM60, tetapi saya mengira nilai hartanah di Jalan Suasa 7/1L itu pada harga RM45 bagi setiap kaki persegi,” katanya.

Terdahulu, Saksi Pendakwaan Ketujuh, Penolong Pegawai Penilaian daripada JPPH, Noor Faiza Zainuddin, 48, memberitahu mahkamah, beliau menilaikan hartanah di Lot 8 dan 10 Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 itu berjumlah RM4.8 juta apabila diminta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Julai 2007.

Noor Faiza berkata, beliau bertanya kepada penjual rumah, Pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni sebab mahu menjual rumah itu, dan dimaklumkan ada masalah dan terpaksa jual.

Perbicaraan bersambung hari ini.
Berita Harian Online | Nilai banglo dibeli Khir RM5.6j

No comments: