Pages

Wednesday, June 15, 2011

Mangsa culik sakit

 SAIDIN  dan ibu Mohd Nazarrudin, Siti Hamdan Ahmad sedih dengan nasib yang menimpa anak mereka.
SAIDIN dan ibu Mohd Nazarrudin, Siti Hamdan Ahmad sedih dengan nasib yang menimpa anak mereka.
Nazarrudin dilapor enggan makan, rindu anak

SUNGAI BULUH: Mohd Nazarrudin Saidin yang ditahan kumpulan penculik di Pulau Jolo, selatan Filipina, dilaporkan tenat selepas dikatakan tidak lalu makan seminggu lalu.
Berita Harian yang menghubungi kumpulan penculik untuk memberi peluang kepada bekas isterinya, Mazlina Mohammad serta enam anaknya bercakap dengannya, semalam, dimaklumkan keadaan tidak mengizinkan untuk mangsa bercakap.
“Ya, ada di sini,” kata jurucakap penculik ketika ditanya di mana Nazarrudin.

“Cakap dengan anak-anak (Mohd Nazarrudin), dia selamat,” kata jurucakap kumpulan itu kepada Mazlina menggunakan bahasa Melayu seakan-akan dialek Sabah.

“Tapi sekarang tidak boleh cakap dengan Nazar, mungkin lain kali. Lain kali boleh... pada bila-bila masa boleh cakap dengan dia,” katanya sebelum mematikan telefon selepas memaklumkan kepada Mazlina bahawa suaminya selamat ketika ini.

Berita Harian kemudian menghubungi seorang lagi anggota kumpulan penculik bagi mendapatkan pengesahan keadaan Mohd Nazarrudin dan anggota yang bercakap dalam bahasa Suluk diselang seli bahasa Melayu mengesahkan Nazarrudin kini sakit.
“Dia sakit mungkin sebab rindu anak. Dia tidak mahu makan sejak beberapa hari lalu,” kata anggota kumpulan itu yang berjanji akan membeli ubat dan membawanya berjumpa doktor.

Mohd Nazarrudin berlepas ke Pulau Jolo, April lalu untuk mencari cicak tokek sebelum diculik pada 8 Mei oleh kumpulan yang disyaki ada kaitan dengan Abu Sayyaf.

Bulan lalu, polis di selatan Filipina menyatakan kumpulan disyaki dipimpin Albahsy Misaya itu menuntut tebusan RM5.6 juta atau 80 juta peso bagi membebaskan Mohd Nazarrudin.

Sementara itu, bapa Mohd Nazarruddin, Saidin Abdul Aziz, 63, berkata beliau berharap dapat bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mencari jalan membebaskan anak sulungnya.

“Kami hidup miskin. Di mana hendak dicari wang sebanyak itu. Lihatlah keadaan rumah kami yang serba kekurangan,” katanya yang bersama isteri dan empat anak mereka menjual nasi lemak secara kecil-kecilan di kawasan lapangan terbang lama di Subang.

“Saya sudah menghantar banyak surat termasuk kepada Menteri Besar (Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) dan pemimpin UMNO.

“Namun sudah lebih sebulan anak saya ditahan, belum ada sebarang maklum balas daripada mereka.

“Kini hanya Perdana Menteri menjadi harapan saya,” katanya.

Berita Harian sebelum ini menjejaki Nazarrudin di selatan Filipina dan berjaya berhubung dengan penculik menggunakan perantara di Pulau Jolo, namun dihalang bertemu Mohd Nazarrudin. Berita Harian Online | Mangsa culik sakit

No comments: