Pages

Friday, June 24, 2011

Hampir 60 banduan disyaki anggota Al-Qaeda larikan diri

SANAA: Hampir 60 banduan yang disyaki anggota militan Al-Qaeda melarikan diri dari sebuah penjara selatan Yemen kelmarin.

Pasukan keselamatan Yaman berkata antara mereka yang larikan diri termasuk 16 anggota militan yang dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 13 serangan pengganas sebelum ini.

Banduan-banduan tersebut melarikan diri dari penjara di Al-Mukalla, di tenggara Hadramaut, ke kawasan pergunungan berdekatan selepas mereka bertempur dengan pengawal penjara dan merampas senjata.

Mereka dikatakan berjaya melarikan diri melalui terowong yang digali selepas sekumpulan militan Al-Qaeda menyerbu penjara tersebut dan membebaskan mereka.

Sekurang-kurangnya seorang pengawal terbunuh dan seorang lagi cedera.

Tiga daripada banduan yang cuba melarikan diri kemudian ditembak mati oleh pasukan keselamatan sementara dua berjaya ditangkap.

Perkembangan terbaru itu jelas menunjukkan kumpulan pengganas Al-Qaeda kini memanfaatkan pergolakan politik yang mencengkam negara itu untuk lebih bebas beroperasi.

Sejak beberapa minggu lalu, beratus-ratus anggota militan telah menawan dua bandar selatan Yaman.

Rakyat negara itu telah mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran untuk menuntut pengunduran Presiden Ali Abdullah Saleh, sejak beberapa bulan lalu.

Encik Saleh, yang telah berkuasa hampir 33 tahun itu mengalami cedera teruk dalam satu serangan di kediamannya di Sanaa awal bulan ini.

Beliau kini berada di Arab Saudi bagi mendapatkan rawatan.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarika, Encik Mark Toner, berkata Washington sedang cuba mendapatkan butir lanjut mengenai kejadian kelmarin dan menekankan pihak akan terus bekerjasama dengan pegawai Yaman untuk menangani pengganasan di sebalik pergolakan politik di negara itu.

'Yang jelas, ketidakstabilan, seperti yang berlaku di Yaman, akan cuba dimaanfaatkan atau cuba diekploit oleh Al-Qaeda di serata dunia. Ia membimbangkan tetapi kerjasama kami akan diteruskan,' katanya.

Kumpulan Al-Qaeda di Yaman sebelum ini dikaitkan dengan beberapa serangan ke atas sasaran Amerika, termasuk rancangan mengebom sebuah pesawat ke Detroit pada Disember 2009. -- AP.



Cyberita Online Luar Negara

No comments: