Pages

Friday, June 24, 2011

Budak rindu ibu bolos sempadan



DUA kanak-kanak warga Myanmar, Han Sen Tan, 6 (kanan), dan Ton Lin Mon, 4, antara 21   pendatang   tanpa izin warga Myanmar yang ditahan di Chuping, Perlis, malam kelmarin. - Foto Eizairi Shamsudin
DUA kanak-kanak warga Myanmar, Han Sen Tan, 6 (kanan), dan Ton Lin Mon, 4, antara 21 pendatang tanpa izin warga Myanmar yang ditahan di Chuping, Perlis, malam kelmarin. - Foto Eizairi Shamsudin

Dua beradik 4 dan 6 tahun antara 21 mangsa Myanmar ditahan di Chuping

KANGAR: Dua beradik lelaki warga Myanmar berusia empat dan enam tahun sanggup membolosi pagar sempadan negara, di sini semata-mata untuk melepaskan rindu kepada ibu kandung mereka yang berada di Kuala Lumpur, berikutan sudah lebih tiga tahun terpisah.

Kedua-dua kanak-kanak itu masuk ke negara ini melalui pagar sempadan berhampiran ladang tebu Chuping, di sini dengan ditemani bapa mereka berusia 45, yang pernah dua kali membolosi sempadan secara haram sebelum ini.
Berdasarkan maklumat, kedua-dua beradik itu dikatakan membayar RM1,000 setiap seorang kepada tekong darat untuk menguruskan pergerakan mereka selepas merentasi sempadan, manakala bapa mereka pula dikenakan RM2,500.
Bagaimanapun, hasrat tiga beranak itu tidak kesampaian selepas mereka ditahan bersama 18 warga Myanmar lain dalam satu serbuan di sekitar ladang tebu Chuping, di sini, kira-kira jam 10.45 malam kelmarin.

Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis, Deputi Superintendan Zakaria Abdul Rahman, berkata ketika ditahan dua kanak-kanak itu keletihan dan kelaparan selepas terpaksa berjalan kaki kira-kira dua jam merentasi kawasan ladang dari pagar sempadan menghala Kilang Gula Felda Perlis (KGFP), di sini.

Berdasarkan maklumat, katanya, bapa kanak-kanak itu yang boleh berbahasa Melayu pernah membolosi sempadan Malaysia-Thailand selama dua kali sebelum ini.

“Dia yang bekerja secara haram sebelum ini pulang ke Myanmar untuk membawa dua anaknya itu ke Kuala Lumpur, atas permintaan isterinya yang bekerja sebagai tukang masak di Kuala Lumpur, yang sangat merindui mereka selepas lebih tiga tahun tidak bertemu,” katanya.
Mengulas serbuan malam kelmarin, Zakaria berkata, seramai 21 warga Myanmar berusia antara empat dan 45 tahun meliputi 16 lelaki, empat kanak-kanak dan seorang wanita ditahan selepas dikesan memasuki negara ini dengan menggunting pagar dawai di sempadan Malaysia-Thailand, di sini.

Berdasarkan maklumat, kumpulan warga asing itu masuk ke negara ini dengan bantuan tekong darat dan dikatakan akan dihantar ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, mengikut destinasi ditetapkan.

“Semua yang ditahan kemudian diserahkan kepada Jabatan Imigresen negeri untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, UPP Perlis mengendalikan 37 kes membabitkan penahanan 136 pendatang asing di sepanjang sempadan Perlis-Thailand.

“Sebahagian besar pendatang ditahan membabitkan warga Myanmar iaitu seramai 75 orang diikuti Thailand (11), Indonesia (enam), Bangladesh (empat) dan selebihnya dua dari Pakistan,” katanya.
Berita Harian Online | Budak rindu ibu bolos sempadan

No comments: