Pages

Friday, June 24, 2011

Budak agih hasil curi


RAMPAS...Ahmad Sofi menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS...Ahmad Sofi menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek.


KOTA KINABALU: Dalam usia baru mencecah lapan tahun, seorang murid sekolah rendah di sini mungkin mencatat rekod perompak termuda di negara ini apabila ditahan bersama dua rakannya selepas memecah masuk pangsapuri seorang pensyarah dan melarikan barang bernilai lebih RM20,000.
Kegiatan penjenayah cilik itu bersama dua rakan masing-masing berusia 15 dan 29 tahun terbongkar selepas polis menyerbu ‘markas’ mereka yang berhampiran pangsapuri itu, kira-kira jam 1.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, berkata ketika diserbu ketiga-tiga mereka asyik membahagikan barangan curi dari rumah berkenaan.

Menurutnya, kira-kira jam 1 tengah hari pada Isnin lalu, seorang pensyarah pusat pengajian tinggi tempatan membuat laporan polis selepas rumahnya dipecah masuk dan kehilangan kamera digital, tiga komputer riba, empat telefon bimbit dan barang kemas dengan kerugian keseluruhannya dianggarkan RM20,000.

“Sebaik menerima laporan mangsa, polis menjalankan siasatan dan mengesan tiga individu dipercayai terbabit kejadian itu di sebuah rumah tidak jauh dari tempat kejadian.


“Dalam serbuan ke atas rumah itu polis menahan tiga suspek termasuk seorang murid sekolah yang berusia lapan tahun,” katanya pada sidang media IPD Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Ahmad Sofi berkata, dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek, polis menemui semula semua barangan dicuri.

Menurutnya, siasatan polis mendapati ketiga-tiga suspek memecah masuk rumah berkenaan dengan mengumpil tingkap sebelum melarikan barang berharga mangsa.
“Kemungkinan suspek berusia lapan tahun itu masuk terlebih dulu sebelum membuka pintu bagi memudahkan dua rakannya menyelinap masuk. Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Ahmad Sofi berkata, ketiga-tiga suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 457, Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.
myMetro | Budak agih hasil curi

No comments: