Pages

Friday, June 24, 2011

3 pengsan tepi wakaf


CEDERA...Mohd Zailani dibawa  ke Hospital Besut.
CEDERA...Mohd Zailani dibawa ke Hospital Besut.


BESUT: Tindakan sekumpulan remaja berkumpul di sebuah wakaf di Kampung Durian Telor, Pasir Akar, Hulu Besut, di sini, mengundang padah apabila tiga cedera apabila wakaf itu ditimpa pokok dipanah petir, kelmarin.
Kejadian berlaku pada jam 5.30 petang ketika sekumpulan 12 remaja berusia antara 15 dan 40 tahun ceria berbual sambil beberapa orang daripada mereka membalas khidmat pesanan ringkas menerusi telefon bimbit masing-masing.

Bagaimanapun, keasyikan mereka terganggu apabila berlaku ribut petir disusuli hujan lebat, namun remaja terbabit tidak berganjak meninggalkan wakaf berkenaan.

Namun, tindakan mereka membawa padah apabila panahan petir pada sebatang pokok besar di tepi wakaf tempat remaja terbabit berkumpul turut terkena tiga daripada mereka menyebabkan mangsa cedera dan pengsan.

Mangsa, Mohd Sahadam Nik Mar, 17, Muhamad Fariz Ismail, 15, dan Mohd Zailani Keria, 23, tercampak dari wakaf berkenaan.


Rakan mangsa, Saiful Bahari Ramli, 15, berkata ketika kejadian dia panik melihat ketiga-tiga mangsa jatuh ke tanah dari atas wakaf berkenaan.

“Melihat tiga rakan kami jatuh tersembam, kami panik dan melarikan diri kerana terkejut selain bimbang menjadi mangsa.

“Panahan petir itu terkena pokok di sebelah wakaf menghasilkan bunyi letupan kuat dan menggerunkan,” katanya.
Menurutnya, selepas hujan dan petir reda, beberapa penduduk kampung dimaklumkan kejadian itu bergegas datang dan membawa semua mangsa ke Hospital Besut bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa yang pengsan hanya cedera ringan dan keadaan mereka tidak membimbangkan meskipun masih trauma.

Saiful berkata, sudah menjadi kelaziman wakaf itu menjadi tempat remaja berkumpul setiap petang dan kejadian kelmarin yang pertama seumpamanya berlaku di kampung berkenaan.
myMetro | 3 pengsan tepi wakaf

No comments: