Pages

Friday, June 24, 2011

10,000 askar akan diundur dari Afghan akhir tahun ini

Obama: Masanya sudah tiba untuk beri tumpuan kepada usaha bangunkan semula AS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, telah mengumumkan pengunduran 10,000 tenteranya dari Afghanistan menjelang akhir tahun ini dan lagi 23,000 anggota menjelang musim panas 2012.

Dalam ucapannya bagi menggariskan peralihan dasar Amerika semalam, Encik Obama, berkata selepas pengurangan peringkat awal, lebih banyak anggota tentera akan dibawa keluar dari Afghanistan secara berperingkat-peringkat sementara rakyat negara itu sudah bersedia mengambil alih soal keselamatan mereka.

Menurutnya, masanya sudah tiba untuk memberi tumpuan kepada usaha membangunkan semula Amerika.

'Sepanjang sedekad lalu, kita telah membelanjakan lebih satu trilion dolar ($1.2 trilion) bagi perang ini, sedang jumlah hutang negara semakin meningkat dan keadaan ekonomi yang sukar. Kini, kita mesti membuat pelaburan dalam sumber Amerika yang terbesar - rakyat kita sendiri,' kata Encik Obama.

Lebih 1,500 askar Amerika telah terkorban di Afghanistan sejak pencerobohan negara itu selepas serangan pengganas 11 September 2001 ke atas Amerika.

Beliau menarik perhatian bahawa kini perang di Afghanistan sudah hampir sampai ke penghujungnya.

'Kami tidak akan cuba menjadikan Afghanistan sebuah negara yang sempurna. Kami tidak akan mengawal jalan rayanya atau meronda kawasan pergunungannya sampai bila-bila. Ini merupakan tanggungjawab pemerintah Afghan,' tegas Encik Obama.

Dengan pengunduran itu, Amerika bagaimanapun masih mempunyai sekitar 65,000 askarnya di Afghanistan apabila Encik Obama bertanding bagi penggal kedua dalam Pilihan Raya Presiden pada November 2012.

Dalam ucapannya, Encik Obama turut menyentuh tentang pemimpin kumpulan pengganas Al-Qaeda, Osama bin Laden, yang telah dibunuh oleh komando Amerika pada Mei lalu.

Menurut beliau, dokumen yang dirampas daripada kediaman Osama di Pakistan menunjukkan Al-Qaeda kini sedang mengalami tekanan yang besar.

Dengan hubungan Amerika dengan Pakistan masih tegang, Encik Obama memberi amaran bahawa beliau akan tetap mendesak Islamabad mengotakan komitmennya menentang 'barah' pengganasan.

Encik Obama berkata pengunduran askar Amerika di Afghanistan harus dilihat sebagai sebahagian daripada strategi perang dan dasar luar Amerika yang lebih luas.

Beliau menarik perhatian sekitar 100,000 askar Amerika di Iraq telah turut diarahkan pulang dengan pengunduran sepenuhnya menjelang akhir tahun ini. -- Agensi.

Cyberita Online Luar Negara

No comments: