Angka kematian dalam protes antikerajaan di Syria terus meningkat, sekalipun Presiden Bashar al-Assad mengarahkan supaya tembakan tidak dilepaskan ke arah penunjuk perasaan dan kerajaan beliau menawarkan dialog dan berjanji mengundurkan tentera.
"Pasukan keselamatan yang mengepung Tall Kalakh sejak pagi semalam melepaskan tembakan mesingan, menyebabkan sekurang-kurang tiga orang maut dan sebilangan lagi cedera di pekan sebelah barat itu," kata saksi.
Seorang lelaki yang cedera ditembak dan dimasukkan ke sebuah hospital di Lebanon meninggal dunia kemudian akibat kecederaannya.
Lebih 500 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak melarikan diri ke seberang sempadan dari Tall Kalakh semalam, kata anggota majlis perbandaran, Mahmud Khazaal.
Sesetengah pelarian yang masuk ke kawasan Wadi Khaled di utara Lebanon mengalami kecederaan akibat ditembak.
Saksi di Tall Kalakh mendakwa, penduduk membawa mereka yang cedera ke sebuah klinik kecil dan bukan ke hospital di pekan itu kerana tidak mahu mangsa ditangkap atau 'dibunuh'.
Pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah satu perarakan jenazah di jalan masuk ke pekan itu, membunuh ibu kepada seorang mangsa yang maut dalam protes dan mencederakan tiga lagi anggota keluarganya.
Serangan itu berlaku sehari selepas beribu-ribu orang membanjiri jalan raya selepas solat Jumaat untuk mengadakan protes antirejim di pekan yang terletak kira-kira 160 kilometer ke utara Damsyik. - AFP
No comments:
Post a Comment