NEW YORK - Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss- Kahn ditangkap polis kelmarin atas dakwaan melakukan serangan seksual ke atas seorang pekerja wanita di sebuah hotel di sini.
Jurucakap polis New York, Paul Browne berkata, Strauss-Khan, 62, yang berketurunan Yahudi ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di sini selepas dia menaiki sebuah pesawat Air France ke Paris.
Dia yang merupakan Pengarah Urusan IMF ditangkap 10 minit sebelum pesawat itu berlepas setelah melakukan serangan seks ke atas pekerja wanita yang berusia 32 tahun tersebut.
Strauss-Kahn yang beristeri merupakan bakal calon presiden yang akan bertanding bagi mewakili parti Sosialis dalam pilihan raya Presiden Perancis pada April tahun depan.
Dia merupakan calon pilihan yang paling popular untuk menjadi Presiden Perancis.
IMF merupakan agensi yang memberi pinjaman kewangan sehingga berbilion-bilion dolar kepada negara-negara yang memerlukan pinjaman.
Menurut Browne, pekerja wanita itu memberitahu pihak berkuasa bahawa dia memasuki bilik Strauss-Kahn di Hotel Sifotel pada Sabtu lalu.
Pekerja wanita tersebut memberitahu dia diarahkan supaya membersihkan bilik ketua IMF itu yang berharga AS$3,000 (RM9,007) satu malam selepas diberitahu bilik berkenaan sudah kosong.
Wanita itu menyatakan, Strauss-Kahn muncul dalam keadaan bogel di bilik itu selepas dia memasukinya sebelum mengejar dan menjatuhkannya.
Menurutnya, ketua IMF itu menariknya ke bilik mandi dan memaksanya melakukan seks oral selain cuba menanggalkan seluar dalamnya.
Wanita itu kemudian berjaya melarikan diri dari bilik tersebut dan memberitahu pekerja hotel.
Pekerja hotel tersebut kemudian menghubungi polis.
Namun, selepas beberapa detektif tiba, Strauss-Kahn didapati sudah meninggalkan hotel itu tetapi telefon bimbitnya tertinggal.
Menurut Browne, ketua IMF itu didapati tergesa-gesa meninggalkan hotel tersebut.
Polis kemudian mendapat maklumat Strauss-Kahn berada di lapangan terbang.
Pihak polis kemudian menghubungi pegawai-pegawai Pihak Berkuasa Pelabuhan untuk meminta bantuan supaya ketua IMF itu ditangkap di kabin kelas pertama pesawat Air France.
Pekerja wanita yang menjadi mangsa Strauss- Kahn itu dibawa polis ke sebuah hospital dan dirawat kerana mengalami kecederaan kecil.
Menurut peguam ketua IMF itu, William Taylor, Strauss-Kahn tidak akan mengaku bersalah terhadap tuduhan ke atasnya.
Ketua IMF itu dilahirkan dalam keluarga Yahudi yang kaya di pinggir Paris pada 25 April 1949 dan menghabiskan masa kanak-kanaknya di Maghribi.
Dia memperoleh ijazah doktor falsafah ekonomi dari Universiti Paris X.
Strauss-Kahn menjadi ketua IMF dengan kontrak selama lima tahun sejak 2007 dengan gaji AS$420,930 (RM1.2 juta) setahun. - Agensi
No comments:
Post a Comment