Pages

Monday, May 16, 2011

35 penunjuk perasaan di Yaman cedera ditembak


SANAA 15 Mei - Sekumpulan lelaki bersenjata api melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di bandar Taiz di selatan Yemen, semalam mengakibatkan 35 orang cedera, ketika diplomat dari Teluk tiba di sini untuk meneliti semula pelan damai bagi menamatkan krisis di negara ini.

Penduduk Yemen telah mengadakan demonstrasi di seluruh Yemen sejak beberapa bulan lalu dalam kebangkitan rakyat negara ini menentang pemerintahan Presiden Ali Abdullah Saleh setelah mendapat inspirasi daripada kebangkitan rakyat yang berjaya menggulingkan pemimpin Mesir dan Tunisia.
Satu pelan damai pada bulan lalu yang diusahakan oleh negara-negara Teluk bagi menggesa Saleh meletak jawatan gagal kerana setelah Presiden yemen itu menolak cadangan itu.
Kumpulan lelaki yang berpakaian biasa itu dipercayai pasukan keselamatan menembak dari atas bumbung bangunan ke arah penunjuk perasaan yang mendesak Saleh yang telah memerintah selama lebih tiga dekad di negara Arab termiskin ini berundur.
"Seramai 35 orang cedera akibat terkena tembakan, tiga daripada mereka kini dirawat di unit rawatan rapi," kata seorang doktor kepada Reuters.
Tiga orang terbunuh, manakala 15 lagi cedera Jumaat lalu apabila tentera menembak ke arah penunjuk perasaan di Ibb, bandar di selatan Sanaa.
Pembunuhan itu menjadikan jumlah korban di Yemen kini meningkat kepada 170 orang sejak tunjuk perasaan di negara ini tercetus.
Pasukan keselamatan kelmarin menahan Ahmed al Musaibli, seorang wartawan penyiaran yang meninggalkan stesen televisyen kerajaan untuk bekerja dengan stesen televisyen satelit yang dikendalikan pembangkang, kata saksi.
Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Abdullatif al-Zayani tiba di Sanaa kelmarin untuk lawatan tiga hari untuk menyabung semula rundingan bagi peralihan kuasa antara Saleh dan pemimpin pembangkang.
"Setiausaha Agung GCC akan bertemu Menteri Luar (Yemen), Abubakr al-Qirbi petang ini," kata seorang pegawai Yemen.
Dalam satu kenyataan diterbitkan akhbar harian Okaz di Arab Saudi kelmarin, Saleh dilaporkan berkata, jika beliau disingkirkan beliau juga akan mengadakan tunjuk perasaan seperti sekarang "untuk menggulingkan kerajaan yang ada". - Reuters

No comments: