Pages

Monday, May 16, 2011

45 pemuda Palestin cedera



Penduduk Palestin menjulang bendera Palestin semasa mengadakan perhimpunan di sempadan terminal Rafah dengan Mesir dan selatan Genting Gaza, semalam bagi memperingati ulang tahun ke-63 insiden 'Hari Nakba'. - AFP


GAZA CITY 15 Mei - Sekurang-kurangnya 45 pemuda Palestin cedera hari ini apabila tentera Zionis melepaskan dua tembakan meriam kereta kebal dan tembakan mesingan bertalu-talu ke arah penduduk Gaza yang berarak menghampiri sempadan Israel.
Perarakan ke pintu sempadan Erez itu adalah sebahagian daripada perarakan dan protes yang diadakan oleh penduduk Palestin di seluruh Tebing Barat dan Genting Gaza hari ini untuk memperingati hari ulang tahun ke-63 'Nakba' (malapetaka).
Hari Nakba menandakan peristiwa penubuhan Israel yang memaksa kira-kira 800,000 penduduk Palestin mencari perlindungan di kem-kem pelarian di rantau ini apabila mereka melarikan diri atau diusir dari kampung halaman mereka, kini menjadi wilayah Israel, semasa perang Arab-Israel 1948.
Sambil mengibarkan bendera Palestin, penunjuk perasaan di sini berarak selama 10 minit dari ibu pejabat Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang menempatkan tugu peringatan Yasser Arafat, ke Dataran Manara di tengah Ramallah.
Siren dibunyikan di seluruh bandar ini sebagai tanda berkabung.
Sekurang-kurangnya 25 penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan askar dan polis Israel di pintu sempadan Qalandia, Tebing Barat, meskipun pasukan keselamatan PA dikerahkan untuk menghalang penduduk menghampiri sekatan tentera Israel di situ.
Di Gaza, berpuluh-puluh bas membawa ribuan penunjuk perasaan ke satu persimpangan di utara Gaza City, sebelum mereka menuju ke pintu sempadan Erez dengan Israel, dan ke bandar Rafah sebelum mereka berarak ke sempadan dengan Mesir.
Buat kali pertama dalam tempoh empat tahun, penyokong Parti Fatah dan Hamas berarak bersama-sama, manakala pemimpin daripada semua puak Palestin menyampaikan ucapan.
Dua pergerakan utama Palestin itu menandatangani perjanjian perdamaian pada awal bulan ini setelah bertahun-tahun berbalah.
Sementara itu di Maroun al-Ras, empat penunjuk perasaan terbunuh, manakala 11 lagi cedera dalam kejadian tembak-menembak di sempadan Lebanon-Israel, di mana rakyat Palestin mengadakan demonstrasi, kata sumber ketenteraan, hari ini.
Jurukamera Reuters, Ezzat Baltaji berkata, dia sempat merakamkan gambar tiga mayat dan dua yang lain tidak bergerak.
Tentera Israel melepaskan tembakan ke udara bagi menyuraikan demontrasi rakyat Palestin manakala tentera Lebanon turut berbuat demikian untuk menyekat kemaraan penunjuk perasaan daripada menghampiri sempadan. - Agensi

No comments: