TRIPOLI - Amerika Syarikat (AS) dan Perancis bersepakat dalam usaha menamatkan misi di Libya, kata Presiden AS, Barack Obama semalam selepas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyatakan tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menanam periuk api di bandar Misrata.
Sementara itu, Rusia yang sebelum ini menentang usaha-usaha Barat untuk menyingkirkan Gaddafi turut meminta pemimpin Libya tersebut meletak jawatan namun, ketua Liga Arab, Amer Mussa memberitahu, beliau sangsi Gaddafi akan berundur secara sukarela.
"Kami bersepakat dalam usaha kami untuk menamatkan tugas ini (menyingkirkan Gaddafi)," kata Obama selepas bertemu Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy pada sidang kemuncak negara Kumpulan Lapan (G8) di Deauville, Perancis.
Namun, Presiden AS itu memberi amaran bahawa mandat PBB untuk melindungi orang awam tidak dapat disempurnakan selagi Gaddafi berkuasa di Libya dan mengarahkan tenteranya supaya melakukan keganasan terhadap rakyat negara itu.
Para pemimpin G8 dari Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Rusia dan AS sebulat suara mengeluarkan draf pada persidangan tersebut bagi meminta Gaddafi supaya meletak jawatan.
"Gaddafi dan pentadbiran Libya gagal dalam melaksanakan tanggungjawab untuk melindungi penduduk Libya dan tidak lagi berhak mentadbir negara. Dia (Gaddafi) tiada masa depan dalam negara Libya yang bebas dan demokratik. Dia perlu pergi," kata draf kenyataan tersebut. - AFP
No comments:
Post a Comment