TOKYO 14 April – Polis memulakan pencarian mayat-mayat penduduk yang terkorban akibat tsunami di zon 10 kilometer luar dari loji nuklear Fukushima ketika usaha mengawal krisis nuklear masih diteruskan.
Beratus-ratus polis memakai pakaian perlindungan kali pertama menjalankan pencarian mayat mangsa ombak gergasi yang menghentam timur laut Jepun ekoran gempa 11 Mac lalu di sekitar runtuhan berdekatan kawasan loji.
Pasukan terdiri daripada 300 pegawai itu dikerah ke kawasan itu dan bergerak mendekati kawasan loji selepas mereka memulakan pencarian yang lebih luas pada 3 April lalu yang meliputi kawasan luar di 20 kilometer kawasan larangan.
Dalam masa yang sama, krew kecemasan di kawasan loji terus berusaha menghentikan kebocoran radioaktif ke dalam laut dengan membina pagar dasar laut bagi memperlahankan penyebaran bahan tercemar ke dalam laut dan mengepam lelehan air bertoksik tinggi ke dalam tangki.
Operator loji Tokyo Electric Power (TEPCO) berkata, usaha itu juga bagi menganalisis rakaman video yang diambil oleh helikopter tanpa manusia di kawasan loji yang dilanda tsunami itu dan menilai kerosakan bangunan reaktor yang hangus terbakar.
Siasatan ke atas reaktor No.4 yang mengandungi kolam 1,000 rod tenaga terdedah selepas letupan hidrogen menanggalkan bumbungnya menunjukkan sesetengah rod itu telah rosak tetapi masih ada yang berada dalam keadaan baik.
Pekerja loji terus mengepam lelehan air bertoksik ke dalam tangki khas supaya mereka dapat meneruskan kerja membaik-pulih sistem penyejukan loji itu lalu menutupnya.
“Setakat ini kami telah mengalihkan 700 tan air dari sana.
“Jika semuanya berjalan lancar sekalipun, ia akan mengambil masa beberapa minggu untuk mengalih semua kebocoran dari dalam dan luar fasiliti,” ujar jurucakap TEPCO. – AFP
No comments:
Post a Comment