Pages

Friday, April 15, 2011

Ibu rayu Intan Najihah pulang ke rumah




Intan Najihah Junniy


SHAH ALAM 14 April – Seorang ibu, Marza Azizan, 32, merayu anak perempuannya, Intan Najihah Junniy, 14, yang menghilangkan diri sejak dua hari lalu agar segera pulang ke rumah mereka di Meru, Klang.
Menurut Marza, anak sulungnya yang merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Meru itu menghilangkan diri pada petang Selasa lalu dan tidak pernah pulang ke rumah sejak itu.
Ujar ibu kepada tiga anak itu, kali terakhir Intan Najihah dilihat oleh rakan-rakannya ialah ketika waktu persekolahan tamat pada petang Selasa lalu dan sebuah basikal yang merupakan kenderaannya ke sekolah ditemui ditinggalkan di dalam sekolah.
“Saya amat bimbangkan keselamatan Intan Najihah dan berharap dia pulang ke rumah dengan segera.
“Kami sekeluarga termasuk ayahnya, Junniy Che Dak, 37, amat merinduinya dan berjanji tidak akan memarahinya sekiranya dia pulang ke rumahnya,” katanya yang datang ke pejabat Utusan Malaysia cawangan Shah Alam bersama suaminya petang ini.
Suri rumah itu memberitahu, Intan Najihah anak yang baik serta mendengar kata dan kehilangannya walaupun baru dua hari amat dirasai.
Oleh itu, katanya, apabila anaknya itu gagal dikesan ayahnya terus melaporkan kehilangannya kepada pihak polis di Balai Polis Meru, Klang Utara dekat sini.
Sehubungan itu, Marza meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Intan Najihah agar menghubunginya di talian 017-310 9973 dan 019-367 9499 (Junniy) atau mana-mana balai polis terdekat.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments: