Pages

Friday, April 15, 2011

Ahli politik amal poligami dipecat


Mangni berdolak-dalik bilangan isteri depan hakim 


PATNA: Ahli politik India tidak asing dengan bigami dan poligami iaitu berkahwin lebih seorang kerana kebanyakan mereka mempunyai apa yang disifatkan sebagai 'chhinavidu' dalam bahasa Tamil, bermaksud 'rumah kecil.'
Dalam satu kes melucukan, seorang ahli parlimen tempatan, Mangni Lal Mandal memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak tahu berapa ramai isteri yang dimilikinya.
Ahli Parlimen dari Jhanjharpur, yang pernah menjadi menteri dalam kerajaan itu juga sama saja dengan seorang lagi ahli politik, Bagun Sumbrai yang mempunyai berdozen isteri. 

Atas sebab gagal memberitahu mahkamah bilangan isterinya, Mangni dipecat daripada jawatan ketua parti di Lok Sabha. 

Keadaan itu timbul apabila seorang ahli dewan, SB Mangalam meminta Mangni untuk memberitahu berapa ramai isterinya, persoalan yang mengejutkan Mangni. 
“Tidak perlu memberitahu dewan bilangan isteri saya,” katanya. 
Mangalam tidak berpuas hati. Beliau meminta Mangni menjawab pertanyaan itu kerana ia isu besar selepas memfailkan petisyen bagi pihak Vishnudeo Bhandari, seorang aktivis politik. 

Mangni akhirnya berkata: “Saya tidak tahu! Tidak tahu!” Tidak lama kemudian, Mangni kembali ke mahkamah. “Tuan hakim, saya mempunyai sesuatu untuk dikatakan,” katanya yang mendapat kebenaran Hakim V N Shinha. 

“Saya tidak boleh maklumkan mahkamah sebelum ini bahawa saya mempunyai dua isteri.” 

Mangni tidak memberitahu mengapa beliau tidak dapat mendedahkan bilangan isterinya di mahkamah atau dalam afidavit Suruhanjaya Pilihan raya apabila beliau bertanding dalam pilihan raya Lok Sabha pada 2009. 

Dalam ruangan afidavit isteri, Mangni menyebut nama Arti Mandal sebagai isterinya tanpa menulis nama Sunita Devi, isteri pertamanya, lapor Times of India. 

Bhandari, seorang pekerja politik dari Madhubani mengkritik tindakan Mangni dalam pilihan raya kerana melanggar tanggungjawab perlembagaan dengan menyembunyikan maklumat pasangannya. Ketika kes itu masih diperkatakan, ahli politik terbabit digantung daripada sebarang aktiviti parti JD (U). 

Ini bukan kali pertama Mangni berhadapan dengan perkara memalukan berkaitan isterinya. – Agensi 

No comments: