Pages

Friday, March 4, 2011

Penentang Gaddafi semakin yakin




BREGA 3 Mac - Tentera yang setia kepada Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi hari ini menghadapi tentera pemberontak yang semakin yakin dan tersusun, yang merayu bantuan udara antarabangsa dan berharap untuk meneruskan kemaraan ke barat menuju ke ibu negara, Tripoli.

Pemberontak menangkis serangan darat dan udara oleh tentera Gaddafi di terminal minyak Brega, timur negara ini semalam sementara pemimpin veteran itu memberi amaran kepada kuasa asing, Libya akan bertukar menjadi 'satu lagi Vietnam' jika mereka campur tangan dalam pemberontakan menentang pemerintahannya selama 41 tahun.
Di bandar raya Benghazi, pemberontak meminta bantuan antarabangsa bagi melancarkan serangan udara dengan sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan serangan askar upahan Afrika yang didakwa dikerahkan oleh Gaddafi untuk menembak rakyatnya sendiri.
"Kami meminta serangan udara strategik ke atas kedudukan askar upahan kerana kehadiran askar upahan asing di bumi Libya ditentang keras," kata jurucakap pentadbiran pemberontak Majlis Kebangsaan Libya, Hafiz Ghoga.
Penganalisis dalam pada itu mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat kesimpulan daripada perkembangan yang berlaku dengan cepat dan dengan sistem komunikasi yang tidak menentu.
"Kita harus ingat, kerajaan dan pemberontak masing-masing cuba menggambarkan momentum di pihak mereka," kata penganalisis di Institut Royal United Services di Britain, Shashank Joshi.
Askar kerajaan dengan bantuan udara melancarkan serangan ke atas Brega semalam, dan buat sementara waktu menawan terminal eksport minyak yang terletak 800 kilometer ke timur Tripoli itu.
Tentera pemberontak menawan semula bandar tersebut yang telah mereka kuasai selama seminggu, dan kini bersedia untuk mara ke barat menghala ke ibu negara jika Gaddafi enggan berundur.
Gaddafi yang dikelilingi penyokong setia di Tripoli menyelar 'gengster bersenjata' yang didakwanya mendalangi kekacauan itu.
"Kita akan terlibat dalam perang besar dan beribu-ribu rakyat Libya akan mati jika Amerika Syarikat (AS) atau Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) masuk.
"Kita bersedia untuk menyerahkan senjata kepada sejuta, dua juta atau tiga juta orang dan satu lagi Perang Vietnam akan bermula," kata Gaddafi kepada penyokongnya.
Seorang penentang Gaddafi di Tripoli berkata, Gaddafi akan bertahan untuk tempoh agak lama kerana bukan mudah untuk penduduk tidak bersenjata menghadapi angkatan bersenjata yang tidak teragak-agak untuk menembak rakan senegara mereka sendiri. - ReutersUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: