Pages

Friday, March 4, 2011

Armada perang Barat pantau perkembangan


pix_gal0
Penyokong Gaddafi tawan 3 askar Belanda, 2 kapal AS tiba 


ATHENS: Dua kapal perang Amerika Syarikat, USS Kearsarge dan USS Ponce dijadual tiba hari ini di perairan Libya ketika keadaan terus huru-hara di negara Afrika Utara itu dengan penyokong pemerintah melancarkan serangan udara terhadap kota yang di tangan penentang termasuk Brega.
Selain itu, 400 lagi askar Amerika yang berada di Greece dilaporkan bersedia dihantar ke dua kapal berkenaan.
Dalam perkembangan terbaru, tiga marin warga Belanda ditawan penyokong bersenjata yang setia dengan pemimpin Muammar Gaddafi semasa cuba menyelamatkan pekerja senegara, kata jurucakap Kementerian Pertahanan di The Hague.

Mereka dikepung lelaki bersenjata dan ditangkap Ahad lalu selepas mendarat berhampiran Sirte dengan helikopter Lynx yang dibawa kapal angkatan laut HMS Tromp yang berlabuh di persisiran Libya bagi membantu mengeluarkan pekerja dari negara bergolak itu.

Penahanan mereka dijangka memperkuat desakan supaya Amerika dan negara Barat lain campur tangan di Libya. Perancis dan Britain turut menempatkan tentera masing-masing dekat perairan Libya.

Tugas mereka, bagaimanapun, sukar kerana Gaddafi dipercayai dibantu 25,000 askar upahan dari Liberia, Sierra Leone, Uganda, Chad, Mali dan Zimbabwe hasil bantuan pembiayaannya untuk pergerakan kemerdekaan sejak beberapa dekad lalu.
Pemimpin Liga Hak Asasi Manusia Libya, Ali Zeidan berkata askar asing paling ramai adalah dari Chad dan mereka dibayar antara AS$300 hingga AS$2,000 (RM900 hingga RM6,000) sehari.

Penentangan terhadap Gaddafi turut menimbulkan krisis kemanusiaan khususnya dekat sempadan Tunisia apabila beribu-ribu pekerja asing cuba untuk keluar dari Libya.

Askar kerajaan yang mendapat sokongan udara melancarkan serangan dan menawan seketika Brega sebelum kembali dikuasai penentang.

Ketika penyokong Gaddafi bertempur dengan penentang yang menguasai semakin banyak kawasan di Libya, Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa berkata pelan damai tajaan Presiden Venezuela, Hugo Chavez sedang dikaji.

Mengikut pelannya, Chavez menyarankan Gaddafi berunding dengan pemimpin penentang.

Sementara itu, di DAKAR, dalam usaha menyelamatkan rakyat asing di Libya, beribu-ribu imigran Afrika diabaikan, terkandas dalam ketakutan berikutan pemisah tersalah anggap mereka sebagai askar upahan berjuang untuk Gaddafi.

Khabar angin bahawa Gaddafi mengupah pejuang dari selatan Sahara untuk menamatkan kebangkitan popular melawan beliau menjadikan sekumpulan rakyat Afrika menjadi sasaran kemarahan, kebanyakan mereka dari negara miskin masih merancang perpindahan mereka.

Abdulai Sisay, seorang pelajar di sebuah kolej Islam di Benghazi, adalah seorang daripada 4,000 penduduk Sierra Leone di Libya dan ibunya, Aminata, 60, di Freetown berkata beliau berterusan berhubungan dengan beliau.

“Beliau amat takut kerana terkurung di rumah sewa dan enggan membuka pintu apabila diketuk,” katanya.

“Katanya beberapa rakannya juga diserang oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali kerana beliau berkulit hitam. Apabila mengintai dari tingkap, beliau mendengar jeritan ‘ bunuh askar upahan Gaddafi.”

Tidak diketahui berapa ramai rakyat Afrika yang disifatkan sebagai buruh asing terkandas di negara yang kaya dengan minyak itu dan beberapa negara melaporkan sehingga 300,000 dari negara jiran Chad dan 50,000 dari Nigeria. – Agensi

No comments: