BREGA - Jet-jet pemerintah Libya mengebom bandar ini semalam yang dikuasai oleh para penunjuk perasaan antipemimpin Muammar Libya.
Serangan itu dibuat selepas Gaddafi memberi amaran bahawa beliau akan memerangi gerakan para penunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya.
Tunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya itu dibuat sejak 15 Februari lalu.
Kebangkitan rakyat Libya itu dibuat selepas kejayaan para penunjuk perasaan di Kaherah yang mengakibatkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai presiden pada 11 Februari lalu.
Jet-jet itu menggugurkan dua butir bom di bandar ini dekat dengan sebuah loji penapisan minyak.
Para penentang Gaddafi di bandar ini menggunakan mesingan untuk mengusir askar-askar upahan pemimpin tersebut.
Di bandar Benghazi, seorang jurucakap di pusat para penunjuk perasaan menyatakan bahawa kira-kira 100 orang sudah ditahan.
Menurutnya, Gaddafi didapati cuba untuk mengukuhkan kedudukannya semalam.
Para saksi menyatakan mereka melihat sejumlah tentera dan askar upahan pemimpin itu bergerak ke arah Raslanuf.
"Kami sedang melihat sama ada mereka (askar-askar Gaddafi) akan melakukan serangan atau mengukuhkan kedudukan sebelum kawasan Sirte," kata jurucakap di pusat para penunjuk perasaan di Benghazi.
Kumpulan-kumpulan penentang menguasai kawasan timur dan barat Libya termasuk di Benghazi dan beberapa kemudahan minyak negara itu.
Gaddafi masih dapat bertahan di ibu kota Libya, Tripoli.
Pihak pendakwa raya di Mahkamah Jenayah Antarabangsa menyatakan di The Hague, Belanda bahawa Gaddafi dan pembantu-pembantunya akan disiasat berhubung dakwaan melakukan jenayah menentang kemanusiaan semasa mengekang kebangkitan rakyatnya.
Menurut pendakwa raya di mahkamah jenayah itu, Luis Moreno-Ocampo kepada pemberita di The Hague, beberapa individu telah dikenal pasti seperti Gaddafi dan orang-orang di sekelilingnya termasuk anak-anak lelakinya.
Gaddafi memberi amaran dalam ucapannya kelmarin bahawa pertempuran dengan rakyat itu akan melibatkan tempoh masa yang panjang jika terdapat campur tangan asing.
"Jika Amerika atau Barat mahu memasuki Libya, kedua-dua pihak itu perlu mengetahui ia akan menjadi neraka dan bermandikan darah, lebih teruk dari Iraq," kata Gaddafi.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton memberi amaran bahawa sebarang campur tangan Barat akan menjadi kontroversi di dunia Arab.
Menurutnya, para penentang Libya mahu mengusir Gaddafi yang sudah memerintah hampir 42 tahun menerusi pendekatan mereka sendiri.
Gaddafi memperoleh kuasa menerusi rampasan kuasa aman semasa pemerintah Libya, Raja Idris berada di luar negara untuk mendapatkan rawatan pada 1 September 1969.
Sementara itu, pemerintah China menyatakan bahawa integriti Libya perlu dihormati manakala Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu memikirkan langkah yang perlu diambil untuk masa depan Libya.
Libya menyumbang 2.3 peratus minyak mentah dunia. Namun, pergolakan di negara itu menyebabkan harga minyak naik melebihi AS$100 (RM303) satu tong sejak beberapa hari lalu.
Beberapa buah kapal tentera AS sudah dihantar untuk mendekati perairan Libya yang mencetuskan kebimbangan sama ada negara itu akan diserang. - AgensiKosmo! Online - Dunia
No comments:
Post a Comment