SANAA 3 Mac - Kumpulan pembangkang dan pemimpin agama di Yemen menawarkan pelan kepada Presiden Ali Abdullah Saleh untuk beliau berundur secara terhormat menjelang akhir tahun ini.
Cadangan itu dipersetujui semasa mesyuarat dengan para ulama, kata jurucakap pembangkang di Parlimen, Mohammed al-Sabri hari ini.
"Kami sudah mempersetujui cadangan penyelesaian termasuk pelan untuk Presiden berundur sebelum akhir tahun ini," katanya.
Saleh belum mengulas tentang cadangan itu tetapi seorang pegawai kanan kerajaan berkata, Presiden akan memberi respons 'positif' terhadap pelan pengunduran tersebut.
Saleh hendaklah mengumumkan pelan itu kepada rakyat, yang kemudian memutuskan sama ada cadangan tersebut diterima atau ditolak, menurut kenyataan daripada perikatan pembangkang di Parlimen dikenali sebagai Forum Bersama.
Penunjuk perasaan Yemen tidak akan membenarkan mana-mana pihak berunding atas nama mereka mengenai perkara itu, katanya.
Pemerintahan Saleh selama 32 tahun digegarkan oleh gelombang protes yang meragut sekurang-kurangnya 19 nyawa sejak 16 Februari lalu.
Pemimpin veteran itu berkali-kali menolak desakan rakyat supaya meletakkan jawatan.
Konsesi beliau setakat ini, untuk tidak bertanding semula pada 2013, ditolak oleh pembangkang sebagai tidak memadai.Pada Ahad lalu, Saleh berikrar untuk mempertahankan rejimnya 'sampai ke titisan darah terakhir', dan menuduh penentangnya mengeksploitasi protes sebagai helah untuk memecahbelahkan negara ini. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara
No comments:
Post a Comment