Pages

Monday, February 7, 2011

Rancangan Gamal ganti bapa gagal

Utusan Malaysia Online - Luar Negara



Gamal Mubarak


KAHERAH 6 Feb. - Sebelum ini, anak lelaki bongsu Presiden Hosni Mubarak dilihat bakal menggantikan bapanya untuk menerajui Mesir, tetapi rancangan bekas pegawai bank yang bercita-cita tinggi ini akhirnya hancur berikutan tercetus tunjuk perasaan besar-besaran penduduk Mesir yang menentang bapanya, sejak dua minggu lalu.
Semalam, jawatankuasa eksekutif tertinggi parti pemerintah, Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) termasuk Gamal Mubarak, 47, meletakkan jawatan beramai-ramai - satu tindakan yang dilihat bertujuan mengendurkan kemarahan rakyat.
Gamal yang merupakan ketua biro politik parti tersebut meletakkan jawatan bersama setiausaha agung parti itu, Safwat el-Sharif dan digantikan oleh Hossam Badrawi yang dikatakan mempunyai hubungan baik dengan parti pembangkang.
Gamal sebelum ini merupakan orang kedua penting di dalam jawatankuasa eksekutif tertinggi parti tersebut yang dianggotai enam orang.
Beliau juga mengetuai 30 buah jawatankuasa politik di dalam parti yang dipimpin bapanya itu.
Menurut profesor sains politik Universiti Kaherah, Mustafa Kamel al-Sayyed, perletakan jawatan Gamal itu dilihat menjarakkan lagi rancangannya untuk menggantikan bapanya.
"Ia juga melemahkan presiden (Mubarak) yang sebelum ini mengharapkan kepada anak lelakinya itu yang sedang diasuh untuk menerajui parti tersebut," ujarnya.
Gamal dan rakan-rakan perniagaannya yang menyokong liberalisasi ekonomi Mesir tidak begitu popular di Mesir, yang 40 peratus rakyatnya hidup di bawah garis kemiskinan. - AFP

No comments: