Pages

Monday, February 7, 2011

Ramai berbaris keluar wang di Kaherah

Kosmo! Online - Dunia



SEBAHAGIAN penduduk berbaris panjang di luar sebuah bank di Kaherah semalam.


KAHERAH - Sejumlah orang berdiri di luar beberapa buah bank semalam untuk mengeluarkan wang selepas seminggu bandar raya ini dilanda tunjuk perasaan bagi menuntut Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan selepas beliau memerintah selama 30 tahun.
Namun, wang yang dikeluarkan itu dihadkan dalam jumlah yang tertentu manakala sebahagian orang terpaksa menunggu selama sejam kerana berbaris dalam barisan yang panjang.
Tunjuk perasaan bagi menuntut peletakan jawatan Hosni itu berlaku sejak 25 Januari lalu semasa para pekerja menerima gaji bulanan mereka.
Namun, tunjuk perasaan itu yang semakin ganas menyebabkan semua bank bertindak menutup operasi masing-masing di sini.
"Saya hanya mempunyai 90 pound Mesir (RM46.79). Saya memerlukan wang dengan segera," kata seorang penduduk, Kamal.
Bagaimanapun, beberapa buah bank tidak membuka operasi terutamanya yang berada di dalam bangunan yang dirosakkan oleh pencuri sejak minggu lalu.
Seorang pengawal keselamatan berkata, bank tempat dia bekerja dekat Dataran Tahrir, Kaherah masih ditutup.

Setakat ini tidak jelas bila bursa saham Mesir akan dibuka selepas ia ditutup sejak seminggu lalu.
Bursa saham itu ditutup selepas indeksnya jatuh 17 peratus.
Eksport negara itu jatuh enam peratus pada Januari lalu ekoran perintah berkurung yang dikuatkuasakan pihak berkuasa pada minggu lalu.
Para penunjuk perasaan itu berhimpun sejak 25 Januari lalu bagi menuntut peletakan jawatan Hosni yang dianggap memerintah secara kuku besi manakala taraf kehidupan penduduknya masih tidak berubah selain kadar pengangguran dalam kalangan penduduk masih tinggi. - Agensi

No comments: