2011/02/23
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melancarkan operasi menyelamat membawa pulang 190 rakyat Malaysia termasuk tujuh pelajar di Libya berikutan pergolakan politik yang mengakibatkan lebih 200 orang terbunuh di negara itu setakat ini.
Operasi seumpama Ops Piramid bagi membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir baru-baru ini, akan menggunakan jalan darat, laut dan udara dengan objektif membawa keluar semua rakyat Malaysia seberapa segera membabitkan Wisma Putra dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN)Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, berkata kerajaan sudah memutuskan usaha membawa pulang semua rakyat Malaysia itu perlu dilakukan segera memandangkan tiada jaminan keselamatan di negara berkenaan.
Katanya, Duta Besar Malaysia ke Libya, Mohd Zulkephli Mohd Noor sudah mempunyai senarai nama semua rakyat Malaysia di negara itu dan operasi membawa mereka pulang akan dilaksanakan pada bila-bila masa.
“Operasi ini tidak dapat dilaksanakan menerusi penerbangan terus disebabkan masalah ruang udara, namun kita akan mengeluarkan mereka melalui jalan darat menggunakan bas sebelum menaiki kapal ke Rome, Itali dan diterbangkan pulang. Kedutaan sedang menguruskan semua keperluan bagi memastikan operasi berjalan lancar tanpa sebarang masalah, khususnya aspek keselamatan.
“Kita berharap ibu bapa dan ahli keluarga tidak bimbang kerana kerajaan sedang berusaha membawa mereka pulang dengan selamat,” katanya.
Kohilan berkata, seperti Ops Piramid, kos operasi kali ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, namun enggan mendedahkan lebih lanjut mengenainya.
Mengenai pelajar Malaysia di beberapa negara Arab lain yang turut bergolak, beliau berkata, Wisma Putra sentiasa memantau perkembangan semasa di negara berkenaan yang ketika ini tidak membimbangkan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Beliau berkata, berdasarkan rekod kedutaan di negara berkenaan, seramai 646 rakyat Malaysia berada di Yaman, Bahrain (500), Libya (150) dan Algeria (60).
No comments:
Post a Comment