Pages

Wednesday, February 23, 2011

Diplomat desak pemimpin dunia campur tangan


PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Beberapa diplomat penting Libya semalam memutuskan hubungan dengan rejim Gaddafi kerana membantah tindakan kejam terhadap penunjuk perasaan.
Sementara itu, Timbalan Duta Libya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa diadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan badan dunia itu untuk membincangkan krisis politik di negaranya.

Duta Libya ke Amerika Syarikat pula mendesak Gaddafi meletak jawatan sementara dutanya ke India meletak jawatan, begitu juga dengan duta ke Bangladesh yang membantah pembunuhan penunjuk perasaan oleh tentera kerajaan.

Hampir semua diplomat Libya di PBB menyokong rayuan Timbalan Duta, Ibrahim Dabbashi supaya Gaddafi mengakhiri pemerintahannya selama 40 tahun serta desakan kepada masyarakat antarabangsa supaya campur tangan.

Pejabat jurucakap PBB berkata, Majlis Keselamatan akan mengadakan perbincangan mengenai keadaan di Libya awal pagi ini.


Ibrahim sebelum ini menggesa mesyuarat majlis itu diadakan bagi menghentikan pertumpahan darah.

Ibrahim turut mendesak masyarakat antarabangsa menguatkuasakan zon larangan terbang di bandar di Libya bagi memastikan tidak ada tentera upahan mahupun bekalan senjata tiba untuk membantu rejim Gaddafi.

Ketika sokongan diplomat untuk rejim itu mula musnah, Ibrahim memberi amaran, jika Gaddafi enggan melepaskan jawatannya, rakyat Libya akan bertindak untuk menyingkirkannya. - AFP
myMetro

No comments: