Pages

Wednesday, February 23, 2011

Gempa bawa kemusnahan besar di kota Christchurch


2011/02/23

Ramai lagi terperangkap selepas gegaran 6.3 skala Richter

CHRISTCHURCH: Bandar Christchurch yang terkenal dengan binaan gereja itu mengalami kemusnahan besar selepas gempa bumi 6.3 skala Richter melanda semalam dengan rakaman video mendapati bangunan tinggi runtuh dan jalan raya dipenuhi konkrit dan runtuhan bangunan.

Sekurang-kurangnya 65 maut dan lebih 100 dipercayai terperangkap manakala jalan raya dan laluan pejalan kaki retak pecah, manakala ribuan penduduk menangis, menjerit dan merayau-rayau di jalan sementara siren amaran tanpa henti berbunyi.
Kemusnahan akibat gegaran kali ini menjadikan bencana alam itu yang paling besar bagi New Zealand.
Ini adalah gempa bumi kedua terbesar yang melanda bandar Christchurch yang dihuni 350,000 penduduk dalam tempoh lima bulan.

Gempa bumi 6.3 skala Richter membawa kemusnahan lebih daripada bencana yang berlaku subuh September tahun lalu. Bencana alam yang melanda Christchurch berlaku pada siang hari waktu bekerja memusnahkan bangunan dan bas.

Tanpa mengetahui jumlah sebenar mangsa, termasuk puluhan pelajar Jepun yang melawat bandar itu dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan bangunan.

“Ini adalah kejadian yang menyedihkan,” kata Perdana Menteri John Key selepas bergegas ke bandar itu dalam tempoh beberapa jam selepas kejadian.
Beliau mengesahkan 65 terbunuh dan jumlah itu mungkin meningkat. “Ini adalah hari paling gelap bagi New Zealand,” katanya memberitahu stesen televisyen One News.

Pereka laman web, Nathanael Boehm, berkata ketika kejadian beliau sedang berdiri di laluan trem. “Ia sungguh menakutkan. Runtuhan konkrit menimpa orang ramai,” kata Boehm.

Datuk Bandar Christchurch Bob Parker mengisytiharkan darurat dan mengarahkan orang ramai meninggalkan bandar itu.

Tentera dikerah membantu orang ramai berpindah dan meletakkan pasukan keselamatan di kawasan yang teruk terjejas, kata Timbalan Perdana Menteri, Bill English.

“Kerajaan sanggup melakukan apa saja untuk usaha menyelamat dan masa amat penting,” katanya.

Lapangan terbang turut ditutup dan Hospital Christchurch dikosongkan sebelum disahkan selamat dan pesakit dimasukkan kembali di hospital itu.

Bekalan elektrik dan telefon turut terputus. Jalan turut dibanjiri air dari paip pecah, manakala kereta yang berada di tempat letak kereta turut musnah dalam timbunan runtuhan bangunan.

Sesetengah penduduk terperangkap di bangunan pejabat dan pihak bomba terpaksa menggunakan tangga untuk menyelamatkan mereka.

Kren terpaksa digunakan untuk menyelamatkan kumpulan yang terselamat di bangunan tinggi.

Asap turut kelihatan di beberapa kawasan dalam runtuhan itu.

Beliau berkata lapan atau sembilan bangunan runtuh dan pegawai berkerja keras untuk mengenal pasti berapa ramai penduduk yang terperangkap.

Seramai 12 pelajar Jepun dari Kolej Bahasa Asing Toyama masih terperangkap manakala sembilan lagi pelajar dan dua guru berjaya diselamatkan.

Polis New Zealand berkata laporan kemalangan turut membabitkan dua bas yang ditimpa runtuhan bangunan.

“Kami dapat melihat gereja runtuh menerusi tingkap semasa kami memegang dinding,” kata Gary Moore yang terperangkap di tingkat 12 bangunan bersama 19 rakannya yang lain.

Bangunan Pyne Gould Guinness Building yang menempatkan 200 pekerja runtuh dan masih belum diketahui berapa ramai terperangkap.

Datuk Bandar, Bob Parker berkata, ketika kejadian beliau berada di tingkat paling atas bangunan perbandaran sebelum jam 1 tengah hari waktu tempatan.

“Saya terus turun dan mendapati orang ramai berada dalam keadaan keliru dan sedih. Saya tahu ramai yang cedera dan menerima laporan banyak yang cedera parah.” katanya.

Kajian Geologi Amerika (USGS) berkata gempa bumi itu berpusat empat kilometer dalam dari bandar itu. Dua gegaran besar masing-masing 5.6 dan 5.5 skala Richter melanda bandar itu dalam tempoh dua jam dan pihak berkuasa memberi amaran orang ramai tidak meng-hampiri bangunan runtuh kerana khuatir ia akan runtuh lagi.

“Apabila gegaran berhenti, saya lihat menerusi tingkap yang menampakkan seluruh bandar Christchurch dan ia hanya debu. Inilah bukti yang banyak bangunan runtuh,” kata ahli majlis perbandaran Barry Corbett, yang berada di tingkat teratas bangunan majlis perbandaran ketika kejadian.

Pasukan mencari dan menyelamat dari Australia tiba untuk membantu dan Perdana Menteri Australia, Julia Gillard berkata beliau sedia memberi bantuan yang diperlukan Keys.

USGS berkata, gempa bumi terbaru itu adalah kejadian susulan selepas gempa berskala 7.1 yang berlaku pada 4 September tahun lalu yang memusnahkan ratusan bangunan tetapi tiada kematian dilaporkan. – AP
Berita Harian Online

No comments: