Pages

Saturday, February 26, 2011

Jarah, tipu berleluasa

CHRISTCHURCH: Polis semalam menyuarakan rasa kecewa terhadap kegiatan menjarah, menghantar e-mel palsu dan menyamar berikutan gempa bumi yang melanda bandar raya ini.
Ketika pekerja penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda Selasa lalu hingga menyebabkan 113 orang terbunuh, polis berkata, mereka terkejut dengan penjenayah yang mengambil kesempatan terhadap kesusahan orang lain.

Mereka berkata, penduduk mengadu penjenayah yang menyamar sebagai pegawai kerajaan, lengkap dengan pakaian dan kad pengenalan palsu, melawat dari rumah ke rumah untuk cuba memasuki kediaman penduduk.

Laporan menjarah dan merompak, termasuk di rumah seorang wanita yang dikhuatiri mati dalam bencana itu, juga diterima.

Aduan mengenai e-mel untuk mendapatkan derma juga berleluasa.


“Saya sungguh meluat dengan perbuatan orang seperti itu yang melihat bencana ini sebagai peluang untuk memperdaya mangsa,” kata Superintendan Russel Gibson kepada Radio New Zealand.

Ketua Polis Daerah, Dave Cliff pula berkata, kekacauan akibat mabuk juga semakin meningkat di Christchurh, bandar kedua terbesar New Zealand yang dilanda dua gempa bumi besar dan ribuan gegaran selepas gempa dalam masa enam bulan.

Menurutnya, antara mereka yang ditangkap kerana menjarah dan mencuri ialah dua lelaki yang cuba melarikan generator yang digunakan untuk membekalkan tenaga elektrik sementara lapan yang lain ditahan kerana menceroboh kawasan larangan di sekitar pusat bandar.

Di Kapiti, bandar di Pulau Utara, seorang lelaki yang mendakwa menjadi mangsa gempa, ditangkap ketika meminta derma daripada ibu bapa di luar sebuah sekolah. - AFPmyMetro | Jarah, tipu berleluasa

No comments: