Pages

Saturday, February 26, 2011

Algeria tarik balik darurat



ALGIERS 25 Feb. - Algeria semalam menarik balik perintah darurat yang berkuat kuasa di negara ini selama 19 tahun, sebagai satu konsesi yang ditawarkan kepada puak pembangkang bagi tujuan menyekat gelombang pemberontakan di negara ini.
Menamatkan kuasa darurat itu adalah antara tuntutan yang disuarakan oleh kumpulan-kumpulan pembangkang yang telah mengadakan protes setiap minggu di ibu negara ini, dengan harapan untuk meniru pemberontakan di Tunisia dan Mesir.
Bagaimanapun seorang penganjur protes berkata, penarikan balik perintah darurat itu tidak memadai, dan kerajaan mesti membenarkan lebih banyak kebebasan demokratik.
Di Washington, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyambut baik tindakan itu tetapi meminta kerajaan Algeria mengambil langkah-langkah seterusnya bagi membolehkan rakyat Algeria melaksanakan hak mereka sepenuhnya.
Satu arahan yang ditandatangani oleh Presiden Abdelaziz Bouteflika untuk menarik balik perintah darurat itu mula berkuat kuasa, semalam selepas disiarkan di warta rasmi kerajaan.
Perintah darurat itu dikenakan untuk membantu pihak berkuasa memerangi pemberontak berhaluan Islam tetapi sejak beberapa tahun lalu, keganasan telah reda dan kerajaan dituduh menggunakannya untuk menyekat kebebasan politik.
Penarikan balik perintah darurat tidak membawa banyak implikasi praktikal kerana peraturan baru juga diluluskan bagi membolehkan tentera bertindak menjaga keselamatan dalam negeri, seperti dilakukannya di bawah perintah darurat.
Bouteflika, 73, dijangka terus mengalami tekanan daripada penunjuk perasaan antikerajaan dan daripada anggota kerajaannya sendiri untuk melaksanakan lebih banyak perubahan dan menjelaskan rancangan beliau kepada rakyat. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: