Pages

Saturday, February 26, 2011

Switzerland beku aset Gaddafi



GENEVA 25 Feb. - Switzerland semalam mengarahkan pembekuan segera ke atas sebarang aset milik pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dan penyokong kuatnya, kata Kementerian Luar negara ini.
Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, Majlis Persekutuan mengutuk tindakan keras yang digunakan oleh pemimpin Libya itu ke atas rakyat Libya.
''Dengan melihat perkembangan tersebut, Majlis Persekutuan mengambil keputusan untuk membeku sebarang aset Gaddafi dan penyokongnya di Switzerland berkuat kuasa serta-merta,'' kata kementerian itu.
Kerajaan negara ini berkata, ia mahu mengelak sebarang penyalahgunaan harta negara Libya yang masih berada di Switzerland.
Dalam pada itu, Britian juga akan mengambil tindakan merampas aset Gaddafi bernilai berbilion pound yang disimpan di Eropah, lapor akhbar Telegraph, hari ini.
Jabatan Kewangan Britain menubuhkan satu unit untuk menjejaki aset Gaddafi di Britain yang dipercayai termasuk di akaun bank, harta komersial dan rumah di London bernilai 10 juta pound (RM49.4 juta), kata akhbar itu.
''Perkara utama adalah mengeluarkan rakyat Britain dari Libya.
''Kemudian kami bersedia untuk mengambil tindakan untuk merampas aset Gaddafi, ia sedang dilaksanakan," kata sumber kerajaan.
Britain difahamkan Gaddafi memiliki aset mudah tunai kira-kira 20 bilion pound (RM98.8 bilion) di London.
Menurut akhbar itu, tindakan pembekuan itu akan dilaksanakan dalam tempoh beberapa hari ini. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: