Pages

Saturday, February 26, 2011

Anak Gaddafi tak lari ke Malta





2011/02/26

AISHA memberi pandangan dalam wawancara dengan televisyen dan menolak laporan sudah lari ke Malta, kelmarin.
AISHA memberi pandangan dalam wawancara dengan televisyen dan menolak laporan sudah lari ke Malta, kelmarin.
Aisha nafi laporan Al Jazeera, dunia kaji sekatan lebih meluas ke atas Libya

TRIPOLI: Anak perempuan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menafikan laporan media Arab bahawa beliau sudah lari ke Malta berikutan keadaan yang semakin meruncing di negara Afrika Utara berkenaan.
Bercakap kepada televisyen tempatan, Aisha Gaddafi, berkata: “Saya katakan kepada penduduk Libya yang saya sayang dan yang sayangkan saya bahawa saya masih di sini, di sebuah rumah yang rosak ini,” kata peguam berusia 33 tahun berkenaan.
Dengan mengenakan tudung, beliau tampil di hadapan kediaman beliau di kawasan tentera Gaddafi, Bab al-Aziziya di Tripoli yang dibom oleh tentera udara Amerika Syarikat pada 1986.

“Rakyat Libya yang mengenali saya amat mengetahui bahawa saya akan terus berada di sini sebagai seorang duta muhibbah bagi penduduk Libya,” katanya.

Beliau juga mendakwa tidak mengetahui pengumuman oleh PBB, Rabu lalu, bahawa beliau sudah digugurkan sebagai duta berkenaan berikutan keganasan yang membunuh sekurang-kurangnya 2,000 penduduk yang menentang pemerintahan bapanya.

Beliau memilih kawasan Bab al-Aziziya sebagai latar belakang untuk menyampaikan ucapan beliau pada Selasa lalu.
Rangkaian televisyen Al Jazeera melaporkan Aisha menaiki sebuah pesawat penumpang 14 tempat duduk yang memasuki ruang udara Malta tanpa mendapat kebenaran dan tidak dibenarkan untuk mendarat di lapangan terbang Valletta.

Di NEW YORK, pemimpin dunia mendesak tindakan lebih tegas diambil ke atas Gaddafi kerana mengarahkan serangan lebih ganas dilakukan terhadap penentang ketika penentangan ke atasnya meningkat.

Perancis dan Britain mencadangkan resolusi sekatan dan senjata diluluskan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata diplomat kanan Paris.

Menteri Luar Perancis, Michele Alliot-Marie juga berkata, negaranya mencadangkan semua anggota rejim pemerintahan Libya dihadap-kan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas tuduhan melakukan jenayah kemanusiaan.

“Tiada siapa boleh bertindak sesuka hati,” katanya yang menambah sekatan itu termasuk larangan ke luar negara selain tindakan kewangan.

“Saya mahu resolusi kuat sebagai jawapan kepada tindakan bunuh Gaddafi,” katanya lagi.

Diplomat Kesatuan Eropah (EU) kemudian berkata, negara Eropah bersedia menyertai usaha melaksanakan zon larangan terbang di Libya bagi melindungi penunjuk perasaan anti Gaddafi daripada serangan udara, selepas PBB meluluskannya. – Agensi
Berita Harian Online

No comments: