Pages

Friday, November 26, 2010

Tipu Daya Syaitan

Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sampaikanlah PesanKu Biarpun Satu Ayat..."
Syaitan dan Iblis akan sentiasa mengganggu manusia bermula dengan memperdayakan manusia sejak terjadinya dengan setitik air mani sehingga ke akhir hayat seseorang hamba Allah itu. Malah, paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Iblis mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan.

Hadis Rasulullah s.a.w menerangkan yang bermaksud: "Ya Allah! Aku  berlindung dengan Engkau daripada perdaya syaitan di waktu maut".

Rombongan Satu

Datang Iblis dengan banyaknya serta pelbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain serta makanan dan minuman yang
lazat. Disebabkan orang dalam sakaratul maut itu pada masa hidupnya tamak dan haloba kepada barang-barang itu, maka diraba dan disentuhnya barangan Iblis dan pada waktu itu nyawanya terputus dari tubuh. Inlah yang dikatakan mati lalai dan lupa kepada Allah SWT. Inilah jenis mati fasik dan munafik, dan nerakalah tempatnya.

Rombongan Dua

Datang Iblis kepada orang dalam sakaratul maut itu dengan menyerupai binatang ditakuti seperti harimau, singa, ular dan kala jengking berbisa. Apabila orang dalam sakaratul maut itu memandang binatang itu dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Seketika itu juga akan putus nyawa dari badannya. Maka matinya disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan  lupa kepada Allah SWT. Matinya sebagai fasik dan munafik dan ke nerakalah tempatnya.

Rombongan Tiga

Datang Iblis mengacau dan memperdayakan orang dalam sakaratul maut dengan  menyerupai binatang yang menjadi minat orang hendak mati itu. Kalau orang itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung dan jika dia minat dengan kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan kuda lumba (judi). Jika dia minat dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang itu meraba-raba binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia mati, maka matinya dalam keadaan lalai dan lupa kepada Allah SWT. Matinya adalah mati fasik dan munafik, dan ke nerakalah tempatnya.

Rombongan Empat

Datang Iblis menyerupai orang paling dibenci oleh orang yang akan mati itu, seperti musuhnya ketika hidupnya. Orang dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya. Waktu itulah maut datang dan matilah dia sebagai mati fasik dan munafik, dan ke nerakalah tempatnya.

Rombongan Lima

Datang Iblis menyerupai sanak-saudara orang yang hendak mati itu, seperti ayah ibunya, dengan membawa makanan dan minuman. Orang yang dalam  sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan, lalu dia menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh Iblis yang menyerupai si ayah dan ibu. Berkata dia dengan  merayu,  "Wahai anakku, ini saja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga." Dia pun sudi mengikut pelawaan itu tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya sampai lalu matilah dia dalam keadaan kafir kekal ia dalam neraka dan terhapus semua amal kebajikan semasa hidupnya.

Rombongan Enam

Datang Iblis menyerupai ulama yang membawa banyak kitab, lalu berkata ia,  "Wahai muridku, lama sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini. Oleh itu kami bawakan kepada  kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu." Lalu diminumnya ubat  itu, maka hilang rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu datang pula Iblis yang menyerupai ulama dengan berkata, "Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat supaya kamu mati dalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?" "Berkata orang dalam sakaratul maut itu, "Aku tidak tahu." Ulama Iblis kemudian berkata, "Ketahuilah aku ulama yang tinggi dan hebat, baru kembali dari alam ghaib  dan mendapat syurga yang tinggi. Cuba kamu lihat syurga yang disediakan  untukmu, kalau kamu hendak mengetahui zat Allah SWT hendaklah kamu patuh  kepada kami."

Ketika orang dalam sakaratul maut itu memandang ke kanan dan ke kiri dan dilihatnya semua sanak-saudaranya dalam kesenangan syurga (syurga palsu yang dibentangkan Iblis bagi mengacau orang dalam sakaratul maut). Kemudian orang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulama palsu, "Bagaimanakah zat Allah?" Iblis berasa gembira apabila jeratnya mengena. Lalu berkatalah ulama palsu, "Tunggu, sebentar lagi dinding tirai akan dibuka kepadamu." Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna-warni itu, orang dalam sakaratul maut itu dapat melihat satu benda sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi. Berkatalah Iblis, "Itulah dia zat Allah yang patut kita sembah."

Berkata orang dalam sakaratul maut, "Wahai guruku, bukankah itu benda benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai jihat enam, iaitu benda besar ini ada di kiri dan kanannya, mempunyai atas dan bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya. Sedangkan zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaanya dari yang diketahui dulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda besar ini." Dalam keraguan itu Malaikat maut datang terus mencabut nyawanya maka matilah orang itu dalam keadaan dikatakan kafir dan kekal dalam neraka dan terhapus segala amalan baik selama hidupnya di dunia.

Rombongan Tujuh

Rombongan Iblis yang ketujuh ini membabitkan 72 barisan, kerana dia menepati iktikad Nabi Muhammad s.a.w bahawa umat Nabi akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) manakala lagi satu masuk neraka kerana sesat.
Ketahuilah bahawa Iblis akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam, yang setiap satu berlainan dalam waktu manusia sakaratul maut. Oleh itu hendakl ah kita mengajar orang yang hampir meninggal dunia akan talkin "Laa ilaahaillallah" untuk menyelamatkannya dari gangguan Iblis dan syaitan yang akan bersungguh-sungguh mengacau orang dalam sakaratul maut. Bersesuaian dengan sebuah hadis yang bermaksud, "Ajarkan oleh kamu (orangyang masih hidup) kepada orang yang mati itu "Laa ilaahaillallah."

Harian Metro
10 Ogos 2003
 



No comments: