MENGIKUT jadual, sepatutnya pesawat Airbus A380 milik Qantas yang berlepas dari Singapura pada hari itu perlu menamatkan penerbangan di Sydney, Australia.
Namun tanpa diduga, pesawat yang sedang menerbangkan seramai 433 penumpang dan 26 krew itu terpaksa berpatah balik dan melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.
Tindakan tersebut dilakukan gara-gara pesawat A380 mengalami kerosakan enjin semasa berada di ruang udara Indonesia. Insiden itu menyebabkan juruterbang pesawat superjumbo itu terpaksa membuang bahan bakar di ruang udara republik itu.
Cerita salah seorang penumpang, Christopher Lee, yang berada di dalam pesawat bersama isteri dan anaknya berusia tujuh bulan, suasana di dalam pesawat yang tenang sebelum itu bertukar kelam-kabut apabila terdengar dua letupan yang sangat kuat.
“Saya fikirkan pesawat terlanggar kawanan burung yang besar. Namun, sangkaan saya meleset apabila ternampak kepulan asap keluar dari salah sebuah enjin pesawat,” tutur Lee yang memuji tindakan juruterbang Qantas, Kapten de Crespigny dan krew kabin kerana bijak mengawal situasi serta menenangkan penumpang.
Menyedari pesawat sedang mengalami masalah, Crespigny, 53, segera membuat pengumuman menerusi alat Intercom di dalam pesawat Airbus A380.
“Saya memohon maaf. Pastinya anda sedar enjin kedua pesawat mengalami masalah teknikal. Maka, penerbangan ini tidak dapat meneruskan perjalanan ke Sydney. Jangan bimbang kerana buat masa ini pesawat masih terbang dalam keadaan selamat,” tutur Crespigny.
Insiden seumpama itu secara tidak langsung membimbangkan banyak pihak. Enggan perkara yang sama berulang, syarikat pembuat enjin pesawat Rolls-Royce bercadang menggantikan 40 buah enjin pesawat A380.
Proses penggantian itu melibatkan hampir separuh enjin Trent 900 keluaran Rolls-Royce yang dipasang pada pesawat A380 milik Qantas, Singapore Airlines dan syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa.
“Selama 90 tahun beroperasi, Qantas tidak pernah mengalami sebarang nahas maut. Namun, disebabkan masalah yang berlaku pada baru-baru ini, semua penerbangan Airbus A380 milik Qantas digantung buat sementara waktu,” terang seorang jurucakap Qantas Airways di Australia.
Terbesar di dunia
Berbicara tentang pesawat A380, ia merupakan pesawat terkini keluaran syarikat Airbus yang mampu memuatkan antara 555 hingga 840 penumpang dalam satu penerbangan. Pada ketika ini A380 atau digelarkan pesawat superjumbo adalah pesawat terbesar di dunia. Selain diiktiraf sebagai pesawat pertama dunia yang mempunyai dua aras penumpang, setiap pesawat A380 dijana menggunakan empat buah enjin.
Sebelum kemunculan A380, Airbus terlebih dahulu memperkenalkan A300 dua enjin pada tahun 1974. Ketika itu, A300 merupakan pesawat bersaiz besar yang boleh terbang melebihi 60 minit. Kemudian diikuti dengan pesawat A310 sekitar tahun 1980-an, A320, A318, A319, A320 dan A321.
Seterusnya syarikat Airbus sekali lagi mencipta sejarah apabila mengeluarkan pesawat A330 dan A340 yang dianggap sebuah pesawat yang selesa dan meyakinkan.
Namun begitu, di sebalik kegemilangannya pada hari ini, Airbus yang ditubuhkan oleh Konsortium Negara-Negara Eropah yang melibatkan Jerman, Perancis, Britain dan Sepanyol, pernah berhadapan dengan kegagalan teruk pada tahun 1978.
Pada tahun berkenaan, 38 buah kapal terbang keluaran Airbus hanya berjaya dijual kepada empat buah syarikat penerbangan. Lebih mengecewakan ibu pejabat Airbus yang berpangkalan di Toulouse, Perancis, terdapat 16 buah kapal terbang Airbus yang sudah siap dipasang untuk dijual tetapi tersadai di hangar.
Syarikat Airbus tidak berputus asa, malah mereka terus berusaha menghasilkan pesawat yang berkualiti dan menepati cita rasa pelanggan. Segala-galanya berubah selepas Airbus tampil dengan reka bentuk kapal terbang A300B yang menarik sehingga rekod jualan Airbus naik mendadak.
Teknologi sistem berkomputer
Terdapat banyak sebab kenapa Airbus boleh berbangga dengan semua pesawat keluaran mereka terutamanya pesawat A380. Bersesuaian dengan namanya pesawat superjumbo, A380 merupakan kapal terbang yang menawarkan perkhidmatan perjalanan yang bukan sahaja mempunyai kadar bunyi yang rendah malah terbaik dari segi hospitaliti.
Keluasan pesawatnya mampu menempatkan ruang mesyuarat, ruang mandi dan memberi keselesaan laluan kepada penumpang yang lazimnya terpaksa berjalan di lorong yang sempit.
Ia turut mengurangkan penggunaan bahan api dan sistem canggih untuk memberi ketahanan dan mengurangkan kos operasi. Ini termasuklah pembakaran bahan api yang rendah dan dilengkapi mod pengurusan penerbangan yang menggunakan sistem maklumat elektronik komprehensif.
Teknologi hebat itu paling ketara dilihat di bahagian kokpit pesawat yang mengawal keseluruhan sistem pengurusan penerbangan dan navigasi. Pada masa yang sama, kokpit turut menempatkan lapan panel paparan utama dan sebuah paparan skrin di bahagian atas kepala (HUD) yang membantu juruterbang untuk mendarat dan memulakan penerbangan.
“Meskipun Boeing terlebih dahulu hadir dalam industri pembuatan pesawat tetapi kebanyakan syarikat penerbangan pada hari ini cenderung memilih pesawat Airbus, khususnya jenis A380,” jelas pakar bahagian avionik dari Institut Teknologi Aeronautik Malaysia (MIAT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Baha Rudin Abd. Latif.
Tambah Baha yang berpengalaman hampir 20 tahun dalam bidang kejuruteraan penyelenggaraan pesawat, selain rekaan dalaman, A380 kerap menjadi pilihan kerana penggunaan sistem teknologi berkomputer di bahagian kokpit.
Dua buah komputer utama dan sebuah komputer sokongan yang digunakan di dalam kokpit membantu juruterbang dari pelbagai aspek.
“Misalnya, ketika haluan penerbangan hendak dilencongkan ke kiri, maka sistem komputer akan mengira sudut pusingan yang ideal untuk keperluan tersebut. Dengan adanya sistem komputer, ia membantu pesawat mendarat dengan baik termasuk dalam situasi melawan angin lintang di landasan.
“Lagipun bukan semua juruterbang mampu mengatasi mahupun mengawal pesawat ketika berhadapan dengan masalah cuaca teruk. Sebab itu, pesawat A380 Qantas baru-baru ini dapat mendarat dengan baik walaupun secara cemas.
Mematuhi jadual penyelenggaran
Menyentuh isu penyelenggaraan pesawat, Baha menjelaskan jadual penyelenggaraan selalunya mengikut perjanjian antara syarikat Airbus, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan syarikat penerbangan yang menggunakan pesawat Airbus.
Sekiranya pihak syarikat penerbangan tidak melakukan penyelenggaraan mengikut tarikh yang ditetapkan, syarikat penerbangan berkenaan perlu memaklumkan segera kepada DCA.
Tambah Baha, adalah salah dari segi undang-undang untuk meneruskan operasi penerbangan menggunakan pesawat yang tidak diselenggarakan mengikut waktu yang telah ditetapkan. Langkah itu penting demi keselamatan penumpang dan mengelakkan sebarang nahas berlaku.
“Selain penyelenggaraan berkala, jurutera turut melakukan pemeriksaan setiap kali pesawat mendarat. Sebelum itu jurutera terlebih dahulu berbincang bersama juruterbang bagi mengenalpasti kerosakan atau masalah yang berlaku sewaktu penerbangan.
“Biasanya, hanya laporan kecil seperti kerosakan lampu, tayar pancit, sistem rada atau radio komunikasi. Selepas membaiki kerosakan berkenaan, jurutera segera memeriksa di bahagian enjin, kipas, roda dan sebagainya sebelum pesawat melakukan penerbangan seterusnya,” terang Baha yang pernah menjalani kursus jangka pendek penyelenggaraan pesawat di Toulouse, Perancis selama sebulan. – IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
No comments:
Post a Comment