Surah ini termasuk dalam surah Makkiyyah. Ia terdiri daripada 30 ayat dan diturunkan selepas surah al-Ghashiyah.
Hubungan surah ini dengan surah al-Ghashiyah adalah:
1. Dalam surah al-Ghashiyah, Allah SWT menerangkan keadaan orang yang berwajah berseri-seri. Dalam surah ini pula, Allah SWT menerangkan sekelompok kaum pendusta lagi derhaka yang berwajah hina dan sekelompok orang yang berwajah cemerlang lagi berseri-seri.
2. Sumpah yang mengawal surah ini bagaikan dalil bagi kebenaran apa yang terkandung dalam penutup surah yang lalu iaitu janji ancaman dan seksa.
Firman Allah SWT: Demi waktu fajar, dan malam yang 10 (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).
Ibn Kathir berkata: Perkataan al-Fajr telah diketahui maknanya iaitu waktu Subuh. Demikian yang dikemukakan oleh Ali, Ibn Abbas, dari Masruq dan Muhammad bin Ka'ab.
Maksud dalam ayat ini adalah waktu fajar pada Hari Raya Korban khususnya yang merupakan penutup malam yang ke-10. Iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Abbas, Ibn Zubair, Mujahid dan lain-lain di kalangan kaum Salaf dan Khalaf.
Antara tafsiran lain berkenaan fajar adalah fajar subuh setiap hari seperti kata Ikrimah, Zaid bin Aslam dan al-Qurazi, dan juga siang hari keseluruhannya seperti kata Abu Nadrah.
Berkenaan dengan malah 10, ada pendapat menyatakan 10 akhir Ramadan, 10 awal Ramadan dan 10 awal Muharam seperti dinukilkan daripada Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir.
Firman Allah SWT: dan bilangan yang genap serta yang ganjil, dan malam, apabila ia berlalu.
Al-Magahri berkata: Kenikmatan Allah SWT yang dikurniakan kepada hamba-Nya kerana penggantian siang dan malam serta keadaannya yang berbeza-beza.
Ini kerana perbezaan waktu dan musim adalah termasuk kurnia yang tidak dapat diingkari kecuali oleh orang yang bongkak.
Sudah tentu Tuhan kita bersumpah dengan siang dan malam ini untuk menjadi peringatan bahawa penggantian siang dan malam adalah berkat pengaturan Zat Yang Maha Pengatur, Yang Bijaksana dan Yang Mengetahui bahawa yang demikian itu berguna bagi hamba-Nya.
Cuba perhatikan faedah yang terdapat pada waktu fajar, nescaya kamu mengetahui bahawa ia akan menghilangkan kesedihan yang terjadi pada malam hari dan mengingatkan datangnya saat mula kerja.
Oleh yang demikian kamu akan memperoleh faedah yang ada pada malam purnama yang membawa jiwa kepada berjaga dan memudahkan manusia dapat bekerja secara baik khususnya pada musim-musim panas di negeri-negeri seperti Arab.
Firman Allah SWT: Bukankah yang demikian itu mengandungi sumpah (yang diakui kebenarannya) oleh orang yang berakal sempurna?
Ibn Kathir berkata: Iaitu orang yang mempunyai akal. Akal disebut dengan sebutan al-Hijr kerana dapat mencegah manusia melakukan hal-hal yang tidak wajar untuk dilakukan.
Sumpah ini berkaitan dengan waktu-waktu ibadah dan ibadah itu sendiri yang terdiri daripada haji, solat dan berbagai macam ibadah lainnya daripada saranan yang dipergunakan oleh hamba-hamba yang bertakwa, tawaduk serta khusyuk di hadapan wajah-Nya yang mulia untuk mendekatkan diri kepada-Nya.
Firman Allah SWT: (Kami tetap akan membinasakan orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka), iaitu penduduk 'Iram' yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya), yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)? Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)?
No comments:
Post a Comment