Oleh Khairulmizan Yahya
bhnews@bharian.com.my
2010/11/22
Jeti Tanjung Lumpur, LKIM jadi lokasi lepas gian
KUANTAN: Bot usang terbiar di Jeti Tanjung Lumpur dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini dikenal pasti menjadi sarang penagih dadah sekali gus mewujudkan persepsi negatif di kalangan masyarakat tempatan.
Tinjauan Edisi Timur mendapati bot usang yang berlabuh di jeti berkenaan sentiasa meriah dengan kehadiran penagih dadah yang mahu melepaskan gian masing-masing sebaik saja kembali daripada menangkap ikan.Nelayan di sini mengakui kegiatan sedemikian ibarat `kuman menjadi barah' dan seperti memandang sebelah mata apabila melihat gelagat rakannya yang menagih.
Malah, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) turut melabelkan dua jeti itu sebagai antara kawasan yang banyak terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini selain di Paya Bungor, FELDA Bukit Kuantan dan Bukit Goh.
Seorang nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd, 35, berkata, kebiasaannya nelayan ini melepaskan gian secara berseorangan atau dalam kumpulan kecil kurang daripada tiga orang dan memilih bot usang bagi melakukan kegiatan tidak bermoral itu.
"Biasanya mereka berbuat demikian sebaik saja tiba di jeti selepas beberapa hari di laut dan membeli dadah menerusi hasil tangkapan masing-masing.
"Segelintir mereka ada yang melepaskan gian dengan mengambil dadah di dalam bot secara terang-terangan pada waktu siang dan ada juga yang secara curi-curi (menagih dadah) khususnya pada waktu malam.
"Selain itu, ada sebahagian daripada mereka memilih bot usang terdampar berhampiran jeti untuk melakukan aktiviti tidak bermoral itu kerana mudah untuk mereka meloloskan diri sekiranya pihak berkuasa membuat serbuan," katanya ketika ditemui di jeti LKIM, di sini, semalam.
Beliau berkata, mereka mendapatkan bekalan dadah dari pihak luar selepas memperoleh bayaran daripada hasil tangkapan sebelum menjadikan bot termasuk bot yang terbiar sebagai tempat melepaskan gian.
"Kebanyakan mereka sudah pernah ditangkap kerana terbabit dengan gejala dadah namun tidak serik malah masalah ini seperti tiada penghujung walaupun pihak polis sering membuat serbuan.
"Kemungkinan besar nelayan yang terbabit dengan gejala dadah itu kerana mahu mendapatkan tenaga tambahan ketika bekerja namun tidak disangkalkan ada segelintir pula mengambil bahan larangan itu hanya kerana mahukan keseronokan.
Rakannya, Abdullah, 50, pula berkata, masalah berkenaan perlu ditangani segera memandangkan ia akan memberi kesan negatif kepada golongan nelayan selain turut menimbulkan masalah lain.
"Selain risiko penyakit, kami juga bimbang sekiranya golongan terbabit bertindak di luar batas dengan mencuri peralatan di dalam bot.
"Pemilik bot atau tekong perlu lebih berhati-hati mengambil pekerja dan memastikan mereka tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah bagi memastikan golongan nelayan bebas dari najis dadah," katanya.
No comments:
Post a Comment