Pages

Monday, November 22, 2010

Laluan masuk Gua Kelam ditutup



Oleh Rashidi Karim 
bhnews@bharian.com.my
2010/11/22

Penutupan berikutan jambatan gantung alami kerosakan teruk akibat banjir 

KANGAR: Jabatan Perhutanan Perlis bertindak menutup laluan masuk ke pusat rekreasi terkenal Gua Kelam di Kaki Bukit, dekat sini, berikutan jambatan gantung sepanjang 370 meter yang menembusi bukit batu kapur itu mengalami kerosakan teruk dalam kejadian banjir baru-baru ini.
Pengarahnya, Ridzuan Salleh, berkata penutupan Gua Kelam itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku memandang pusat rekreasi terbabit menjadi tumpuan pelancong sempena cuti persekolahan sekarang.
“Selain menempatkan seorang pengawal keselamatan, kita sudah meletakkan papan tanda amaran berhubung penutupan pusat rekreasi di pintu gua dan orang ramai sama sekali dilarang memasukinya untuk melihat kerosakan jambatan. 

“Sebahagian kayu jambatan tercabut keluar manakala kabel pengikat berpintal akibat hentakan arus deras air yang memenuhi gua ketika banjir besar bermula 1 November lalu,” katanya di sini, semalam. 

Beliau berkata, talian pendawaian elektrik turut rosak hingga menyebabkan keseluruhan gua menjadi gelap dan berbahaya kepada pengunjung. 

Katanya, ketika banjir itu air naik mencapai ketinggian lebih lima meter hingga memenuhi segenap ruang gua sehingga menyebabkan segala peralatan yang ada di situ hanyut. 
Kita akan mendapat peruntukan segera untuk membaiki kerosakan di Gua Kelam manakala kos keseluruhan membaikinya dijangka mencecah RM500,000,” katanya. 

Ridzuan berkata, beliau meminta pelancong bersabar berikutan penutupan gua yang dijangka berlarutan sehingga awal tahun depan bagi kerja membaik pulih. 

Katanya, orang ramai boleh mengunjungi Gua Kelam 2 yang terletak kira-kira 100 meter dari Gua Kelam kerana kawasan terbabit mempunyai daya penarik dengan terbinanya laluan kereta api memasuki perut gua. 

Sementara itu, Tinjauan Berita Harian semalam mendapati beratus-ratus pelancong yang tidak mengetahui penutupan Gua Kelam hanya beriadah bersama keluarga sambil mandi manda di sungai berhampiran pintu gua. 

Ada di antara pelancong cuba memasuki pintu gua tetapi dihalang pengawal keselamatan yang ditempatkan di situ.

No comments: