Pages

Tuesday, October 12, 2010

Menjejaki asal-usul denim



MELALUI lukisan ini, pengkaji dapat mengenal pasti latar komuniti dan lokasinya.


IA menjadi keperluan harian dan juga fesyen kegemaran ramai. Ternyata, jean biru kini telah menguasai planet. Namun, adakah tekstil itu berasal dari kilang kain di New Hampshire, di pantai selatan Perancis atau dari perusahaan tenunan di utara Itali?
Ahli sejarah seni percaya mereka telah menemui petunjuk untuk teka-teki yang berabad lamanya itu. Pembayang itu diperolehi daripada sebuah lukisan abad ke-17 oleh artis utara Itali. Karya yang diberi judul Master of the Blue Jeans itu telah dipamerkan di Paris baru-baru ini.
Menghayati salah satu karya tersebut, seseorang boleh melihat fabrik biru dengan jahitan benang putih pada imej seorang wanita marhain yang memakai skirt dan juga jaket yang dipakai pengemis kanak-kanak. Kesan koyak pada fabrik itu menyerlahkan strukturnya.
"Perician pada pakaian itu dilukis dengan sangat khusus. Amat jarang bagi seseorang pelukis dapat menunjukkan mesej kemiskinan melalui ketelitian elemen tersebut. Jean biru ditemui dalam hampir setiap lukisan," kata kurator, Gerlinde Gruber yang mengkaji hasil kerja seniman tidak bernama itu.
Dalam lukisan lain yang berjudul Mother Sewing, seorang ibu sedang digambarkan menyiapkan selembar kain perca. Ketelitian lukisan itu membolehkan pihak kurator mengenal pasti suasana serupa di Venice, Itali.
Para sejarawan telah sekian lama cuba mengesan asal-usul seluar jean menerusi dua sumber di luar Amerika Syarikat iaitu fabrik kasar yang dikenali dengan de Nimes dari bandar Nimes, Perancis dan juga fabrik fustian kapas dari Genoa di Itali yang dipanggil Genes.
Daripada kedua-dua nama itu, telah tercetus perkataan Inggeris yang dikenali pada hari ini iaitu jean dan denim.
Namun, tidak seperti kehalusan fabrik seperti yang dipakai golongan bangsawan, fabrik kasar tersebut dipakai golongan kelas bawahan sehingga ia lusuh dan koyak rabak.
JAKET yang dipakai kanak-kanak ini jelas menunjukkan fabrik jenis denim.


Sejarah lokasi
Sehingga kini, hanya terdapat rekod bertulis mengenai penghantaran fabrik kos rendah dari Genoa ke bahagian utara Eropah terutamanya England pada pertengahan abad ke 17.
"Kami juga merekodkan dakwaan daripada tukang jahit Inggeris bahawa kain dari Genoa yang digunakannya merupakan fabrik jean asli. Ini telah menghidupkan kembali realiti sejarah yang selama ini dilupakan," jelas Gruber.
Berdasarkan kajian kurator, fabrik berwarna biru telah dilukis seakan-akan dengan rona jean masa kini. Beberapa abad kemudian, kumpulan pereka iaitu Francois dan Marithe Girbaud telah memperoleh reputasi sebagai ketua seluar seluruh dunia.
Menurut para kurator, biru fabrik dalam lukisan tersebut diwarnakan indigo, sama seperti bahan pewarna yang digunakan untuk mencelup denim pada hari ini.
Beberapa kurun kemudian, pasangan pereka suami isteri, Francois dan Marithe Girbaud meraih reputasi sebagai pakar dunia jean. Mereka ialah perintis jean longgar gaya hip-hop yang menggunakan teknik stonewash atau regangan.
"Perkara ini menjawab persoalan sejarah yang selama ini kita hebohkan. Ini sungguh menyeronokkan.
"Dalam fikiran orang ramai, jean dikaitkan dengan Marilyn Monroe, James Dean dan Amerika Syarikat. Sekarang, adakah ia dari Nimes atau Genoa? Saya sendiri tidak tahu jawapannya. Paling penting, jean telah wujud sejak tahun 1655," jelas Francois yang turut terlibat dalam pameran di Paris itu.
Kisah pameran
Sementara itu, sebanyak 10 buah karya kanvas telah didedikasikan buat pelukis Itali itu dengan lapan daripadanya ditayangkan di Paris. Ia dipamerkan bersama karya Michael Sweerts atau Giacomo Ceruti, yang telah dipinjamkan daripada muzium dan juga koleksi peribadi di Rom dan Vienna.
Pada tahun 2004, pemilik galeri yang berpangkalan di Paris, Maurizio Canesso telah membeli lukisan daripada artis yang tidak dikenali di sebuah sekolah seni di Neapolitan, New York.
Canesso cuba menyelidik asal-usul lukisan berjudul The Barber's Shop itu dan telah menemui salinannya di muzium yang terletak di Varese berdekatan Milan.

KEGILAAN berfesyen dengan jean sudah merentas zaman dan kekal popular hingga ke hari ini.


"Itu telah menyebabkan kajian mengenainya bermula," ujarnya.
Pada masa yang sama di Itali, tanpa pengetahuan Canesso, Gruber sedang giat mencari jawapan kepada hasil karya artis yang sama. Hasil kerja pelukis misteri tersebut dinamakan sebagai The Master of the Blue Jeans berikutan pengulangan imej fabrik tersebut dalam siri karyanya.
Rujukannya bermula selepas melakukan pemerhatian terhadap lukisan berjudul Woman Sewing With Two Children dan Beggar Boy With A Piece Of Pie.
Sifat ingin tahu Canesso tercetus apabila membaca artikel ulasan lukisan Gruber yang disiarkan pada tahun 2006. Pada tahun-tahun berikutnya, Canesso membeli kesemua karya yang dihasilkan pelukis yang disebutkan itu.
Berdasarkan di galeri Canesso, setiap lukisan dianggarkan berharga antara AS$60,000 hingga AS$80,000 (RM187,00 hingga RM249,000).

No comments: