Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my
2010/10/12
BUKAN sedikit ilmu yang dimiliki masyarakat Bisaya. Difahamkan ada 40 jenis kepakaran dalam masyarakat itu yang berbahaya dan boleh menyebabkan sesiapa saja hidup tidak selesa jika terkena buatannya. Dalam zaman moden ini, ilmu itu semakin kurang diamalkan tetapi masih kekal diwarisi hampir kebanyakan masyarakat itu. Jika sesiapa pernah terbaca mengenai ilmu menghilangkan kemaluan seseorang, itulah antara yang paling digeruni ada pada dimiliki orang Bisaya. Ia adalah ilmu yang sudah lama ada dalam masyarakat itu dan difahamkan sehingga kini masih ramai yang mahir mengamalkannya.Kehebatan orang Bisaya dalam ilmu kebatinan sudah terbukti ketika perang Padas Damit. Ketika itu mereka boleh ‘mencipta’ tebuan yang hanya akan menyerang orang bukan Islam. Ia menjadi senjata sakti mereka menentang musuh.Kehebatan ilmu dalaman yang digelar ‘Gayong Dalam’ oleh Ketua Kampung Padas Damit, Said Masi, sebenarnya bukan sekadar bertujuan untuk melepaskan kemarahan tetapi ada ketikanya sekadar digunakan sebagai bahan permainan dan uji menguji.
“Dulu kerap ilmu itu dijadikan permainan. Seorang yang hebat akan sengaja mengirim ‘tuju’ kepada seorang lagi untuk menguji kehebatannya. Ia akan berbalas-balas sehingga kedua-duanya puas. Jika sesama mereka memang tak ada kesan teruk tetapi jika terkena orang yang tak tahu membela diri, sakitnya boleh membawa maut.
“Malah, ada juga ilmu yang kerap digunakan untuk mengganggu sesuatu majlis perkahwinan. Seseorang yang tak puas hati atas apa saja sebab akan menghantar ‘ilmu’ yang membuatkan ada orang dalam majlis menjadi gila. Jika ada sesiapa yang memegang orang itu, dia juga akan menjadi gila.
“Ada pula yang mengkhianati majlis perkahwinan dengan membuatkan nasi atau lauk pauk jamuan kenduri kahwin tidak masak. Ia selalunya disebabkan rasa tak puas hati atau mungkin juga sekadar mencuba dan main-main.
“Sekarang sudah tak ramai yang guna ilmu itu sebarangan sebab pegangan agama yang kuat tetapi sebenarnya masih ramai yang mahir termasuk orang muda dan remaja. Namun, adat dalam permainan dalaman, jika ada bisa pasti ada penawarnya. Semua sakit akibat ‘tuju’ itu boleh diubati dan ramai pakarnya di kampung ini,” katanya.
Paling menakutkan tentulah apabila tiba-tiba menyedari yang ‘anu’ hilang atau terasa ada di dahi. Dikatakan, jika terkena buatan itu, ada yang tak tahu untuk menceritakan kepada sesiapa. Ubat yang paling popular adalah menggunakan kura-kura kerana sifat penyakit itu sama seperti tabiat haiwan itu yang menyorokkan kepala ketika takut.
Mengejutkan apabila Said memberitahu bahawa semua ilmu itu bukan sukar untuk diamalkan menyebabkan dengan mudah ramai orang muda turut menguasainya.
Kini, sebenarnya masih ada ‘orang lama’ yang menguasai semua 40 ilmu itu. Kadangkala pemilik ilmu dalaman itu sengaja menguji kemampuan diri. Sekiranya dia memiliki 30 ilmu, sudah tentu dia mudah memenangi permainan dengan orang yang hanya ada 20 ilmu. Begitulah permainan pelik orang Bisaya dulu dan sebahagiannya kini.
Teringat cerita Ali Karimi Dahlan mengenai orang Bisaya dulu: “Dulu, mana ada sangat orang berani lawan bola sepak dengan orang Bisaya, apatah lagi di kampung mereka kerana ada saja ilmu yang digunakan ketika perlawanan. Silap-silap, terlanggar kaki mereka pun kita boleh sakit teruk.”
“Jangan risau. Jika kamu tak buat apa-apa dan tak ganggu sesiapa, tak perlu takut terkena buatan orang sini. Dulu memang mereka suka mencuba tapi sekarang orang Bisaya kuat beragama. Jika ada rasa apa-apa yang pelik, ramai boleh tolong ubatkan,” kata seorang penduduk di Suasa, meredakan rasa risau penulis dengan semua cerita itu.
Kehebatan orang Bisaya juga mungkin ada kaitan amalan mereka suatu ketika dulu yang begitu percaya kepada sesuatu yang pelik termasuk konon ada berita buruk yang disampaikan oleh burung ‘juriak’ setiap kali ia berbunyi. Difahamkan, kejadian buruk pasti akan berlaku jika burung itu berbunyi.
Namun, kini kepercayaan sebegitu sudah semakin terhakis dan tidak pula ada kejadian buruk berlaku meskipun berpuluh kali burung itu berbunyi. Ia mungkin disebabkan pegangan agama yang kuat dalam kalangan mereka selain pencerapan gaya pemikiran moden akibat perubahan zaman.
Kepercayaan terhadap pantang larang ketika mengandung dan kehidupan seharian juga sudah semakin ditinggalkan meskipun dulu merekalah antara masyarakat paling kuat berpegang dengan pantang larang sehinggakan suami tidak boleh berulang alik keluar masuk rumah jika isteri mengandung kerana khuatir anak dalam kandungan susah untuk dilahirkan.
No comments:
Post a Comment