Pages

Tuesday, October 12, 2010

'Gadis ghaib henti guna bomoh'


2010/10/12

PENGAMAL perubatan dilantik YIT dan orang ramai membaca surah Yasin sebagai sebahagian daripada rawatan  gadis ghaib dari rumahnya.
PENGAMAL perubatan dilantik YIT dan orang ramai membaca surah Yasin sebagai sebahagian daripada rawatan gadis ghaib dari rumahnya.
JERTIH: Pengamal perubatan Islam yang dilantik Yayasan Islam Terengganu (YIT) merawat gadis ghaib, Siti Balqis Mohd Nor, 22, meminta keluarga itu tidak menggunakan khidmat bomoh lain untuk sementara waktu bagi memastikan proses rawatan dilaksanakan dengan berkesan. 

Permintaan itu diutarakan tiga pengamal perubatan berkenaan semalam selepas mereka menangkap 12 lagi jin di rumah gadis itu di Kampung Gong Nangka, Apal, dekat sini, termasuk makhluk dipercayai ditinggalkan bomoh lain yang merawat gangguan misteri terbabit.Pengamal perubatan berkenaan yang juga anggota skuad khas ditubuhkan YIT untuk menangani penyakit misteri dan histeria, meminta langkah sedemikian selepas mendapati ikhtiar mereka sejak beberapa hari lalu menunjukkan hasil apabila gadis itu tidak lagi ghaib pada waktu senja.

Anggota skuad khas itu dibawa Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat ke rumah Siti Balqis untuk merawat mengikut cara Islam sejak Sabtu lalu dan sesi rawatan awal tamat tengah hari semalam. 

Ketua skuad perubatan khas YIT, Fauzi Yusof, berkata pasukan itu sudah menangkap 12 jin dengan berlandaskan kaedah Islam dengan membaca ayat al-Quran dan turut 'memagar' rumah itu dengan menabur beras, garam dan lada hitam di keliling rumah. 

Katanya, beliau tidak menggalakkan pihak lain untuk mengubati gadis itu dalam tempoh terdekat kerana tidak mahu mengganggu keadaan yang kini sudah menampakkan tanda positif. 

Sementara itu, Ibu Siti Balqis, Norizan Said, 47, berkata anaknya kini menunjukkan banyak kemajuan selepas tiga sesi rawatan pasukan berkenaan dan dalam tempoh 48 jam lalu tiada lagi gangguan misteri yang berlaku. 
Norizan berkata, dia akur dengan syarat ditetapkan pengamal perubatan Islam berkenaan dan akan berusaha mengikut apa yang diarahkan supaya anaknya pulih seperti sedia kala. 

Tinjauan Berita Harian ke rumah keluarga terbabit semalam mendapati pengamal perubatan Islam berkenaan menjalankan sesi rawatan dengan solat hajat, doa, bacaan ayat suci al-Quran dan memandikan gadis terbabit dan ibunya. 

Kira-kira 14 kakitangan YIT dari daerah Besut dan Setiu menyertai solat hajat dan doa sebelum tiga pengamal perubatan Islam terbabit memulakan sesi merawat gadis berkenaan serta ibunya mulai pagi semalam. 

Hadir sama pada sesi rawatan itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamarudin Mohd Zakaria. 

No comments: