2010/10/12
SEREMBAN: “Apabila sedar, saya berasa lengan kiri sangat sakit dan terkejut apabila mendapati ia hampir hancur berlumuran darah dan dipenuhi kaca tingkap,” kata Nurnajlaa Aqilah Mohd Ghazali, 19, mangsa kemalangan bas ekspres di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas, malam kelmarin.Dia yang sebelum itu tertidur berkata, tidak mengetahui punca kecederaan, tetapi percaya disebabkan tersepit pada kaca tingkap bas yang terbalik.Pelajar tahun satu jurusan Kejuruteraan Komputer Universiti Malaya (UM) itu berkata, dia terpaksa menggagahkan diri keluar daripada bas yang sudah terbalik untuk menyelamatkan diri.
“Ketika itu, keadaan huru hara dengan jeritan dan tangisan meminta tolong. Saya yang masih bingung kerana impak kejadian itu tidak menyedari apa yang berlaku di sekeliling dan hanya risaukan tangan saya.
“Apabila berada di tepi jalan, baru saya sedar kemalangan itu sangat teruk dan ramai yang parah, selain melihat beberapa mayat bergelimpangan,” katanya yang turut cedera pada muka dan kepala akibat terkena serpihan kaca.
Sementara itu, pelajar kolej swasta, Tew Chi Ling, 18, berkata, dia sedang mendengar pemain MP4 apabila bas tiba-tiba bergoyang kerana cuba mengelak sebuah kenderaan lain di hadapan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan.
“Saya terkejut dan terasa seolah-olah bas melayang sebelum terhempas dan mendengar dentuman kuat. Selepas itu, saya sedar sudah berada dalam keadaan terbalik dengan kepala di bawah dan kaki di atas. Saya dengar ada orang meminta saya keluar segera,” katanya yang cedera ringan.
Mereka ditemui ketika lawatan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha; Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan; Ketua Pengarah JKJR, Datuk Sureet Singh dan Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).
No comments:
Post a Comment