Oleh Haspaizi Mohd Zain
2010/10/03
BENARLAH kata orang, erti kemanusiaan itu hanya boleh dihayati apabila bertandang ke lokasi bencana. Musibah dalam bentuk gempa bumi dan banjir misalnya, bukan setakat meragut nyawa tetapi turut meninggalkan trauma kepada mangsa yang terselamat.
Sudah pasti, negara yang terjejas teruk akibat dua bencana sedemikian adalah Pakistan. Bumi negara Islam itu seakan tiada surutnya dengan kisah penderitaan rakyatnya yang bersilih ganti - daripada ancaman gempa bumi, keganasan permusuhan puak dan terbaru, banjir besar yang disifatkan terburuk dalam sejarah 80 tahun negara itu.
Sukar sebenarnya menelah perasaan mangsa banjir ketika menyertai misi kemanusiaan ke negara itu bersama 68 sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia yang diketuai Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, baru-baru ini.Namun, sehingga ke saat ini, wajah comel yang dihurung lalat, tangan kotor menadah meminta bantuan sambil melontarkan suara merayu “Abang...tolong saya, saya lapar....” dalam bahasa Urdu, masih terngiang-ngiang. Rayuan yang pasti meruntun hati sesiapa saja yang mendengarnya, apalagi penulis, seperti rakyat Malaysia yang lain, ‘mewah’ makanan dan hidup aman tanpa seminit pun bimbangkan ancaman bencana alam.
Suasana suram itu ketara di Nowshera - salah satu kem pemindahan banjir sementara yang terletak di Peshawar dan menjadi destinasi misi kami. Kehadiran kami bagi menyalurkan bantuan makanan dan perubatan ‘diserbu’ ribuan mangsa banjir termasuk warga emas dan juga kanak-kanak. Tepung atta adalah antara bahan makanan utama yang diagihkan di kem pemindahan sementara berkenaan.
Biarpun hanya kesedihan yang melanda jiwa, namun ia bukan penghalang kepada penulis untuk mempelajari erti kemanusiaan seperti dipaparkan si kecil dan mangsa lainnya.
Si kecil yang belum kenal erti kehidupan terpaksa melalui kesusahan yang berpanjangan kerana dihimpit kemiskinan. Pakaian putih menjadi lusuh kerana dipakai berulang kali, sehingga koyak. Itu belum lagi perit bertahan terik mentari, kemudahan asas seperti bilik air yang cuma bertaraf ‘asal jadi.’
Bukan itu saja, wajah comel yang sepatutnya diuliti tawa riang ke sekolah, sebaliknya diselubungi debu kotoran sehingga menjadi comot. Sukar sebenarnya bagi kita untuk melihat kehidupan kanak-kanak bertemankan lalat, tetapi ia sudah biasa di sini.
Biskut kering, tepung atta yang mungkin tiada nilainya di Malaysia, sebaliknya ibarat makanan mewah di sini. Malah jika dibandingkan dengan kehidupan kita, masyarakat Pakistan sebaliknya hidup penuh kedaifan. Di tanah air, kita mewah makanan sehingga kadang kala menjadi punca penyakit sebaliknya di Pakistan, kekurangan makanan menyebabkan mereka mati kebuluran. Di sini, jangan terkejut andai melihat si ibu terpaksa mengutip makanan yang jatuh ke tanah untuk dibawa balik ke rumah bagi diberi makan kepada anak mereka.
Ketika sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia sibuk mengagihkan makanan dan menjalankan pemeriksaan kesihatan, mata penulis asyik memerhatikan seorang kanak-kanak yang mencuba sedaya upaya membuka pili air bagi membasahkan tekak.
Tanpa mempedulikan air berkenaan bersih atau tidak, kanak-kanak itu terus minum sepuas-puasnya air yang keluar dari pili itu. Si ibu pula langsung tidak mempedulikan anaknya kerana apa lebih penting adalah menunggu giliran mendapatkan bantuan.
Malangnya, makanan yang diperoleh pula tidak mencukupi dan mereka hanya sekadar makan untuk mengalas perut. Tiada pinggan bersih ataupun makanan enak, hanya nasi kosong ditadah dengan pakaian.
Di wilayah Peshawar saja, doktor yang menjalankan pemeriksaan kesihatan di kem sementara memeriksa sekurang-kurangnya 150 mangsa banjir setiap hari akibat ancaman penyakit bawaan air. Daripada jumlah itu majoritinya adalah kanak-kanak.
Selepas selesai menjalankan misi kemanusiaan di Peshawar, penulis dan kumpulan sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia bergerak ke wilayah Karacahi, kawasan yang terjejas teruk akibat banjir besar itu. Di Karachi lebih sejuta mangsa banjir kehilangan tempat tinggal dan kekurangan makanan.
Tujuh hari di Karachi, penulis sempat melawat sungai Indus, sungai yang menjadi kebanggaan masyarakat Pakistan. Bagaimanapun keindahan sungai berkenaan kini sudah musnah ekoran banjir besar itu. Tetapi mangsa banjir tempat membina khemah bagi sebagai penempatan sementara mereka selepas kediaman mereka musnah ditelan banjir.
Karachi adalah sebuah bandar pesat membangun, namun jalan raya di bandar itu dipenuhi dengan kanak-kanak dan golongan wanita yang mengerumuni kenderaan ketika berhenti untuk meminta sedekah.
Wilayah berkenaan mempunyai 23 daerah dan daripada jumlah itu 19 daerah lumpuh ataupun terjejas akibat banjir bencana alam itu dan kira-kira sejuta penduduk kawasan berkenaan meninggalkan kediaman masing-masing. Kira-kira 200 mangsa banjir di kawasan berkenaan terkorban ketika bencana itu dan 1,000 lagi cedera.
Banjir terburuk itu juga mengakibatkan kerugian sekitar 800 juta rupee dan kira-kira 3.1 juta rupee kerugian akibat pertanian musnah. Bukan itu saja, ia juga mengakibatkan sekurang-kurangnya 200,000 haiwan ternakan mati dalam kejadian itu.
“Rata-rata rakyat Pakistan yang ditemui, amat terharu dan berterima kasih dengan bantuan Malaysia. Kita tidak menganggapnya sebagai pujian, sebaliknya menjadi tekad untuk terus membantu mereka,” kata Abdul Azeez.
1 comment:
ishhh nak nangis baca pengalaman menyayatkan hati penulis ketika btugas di pakistan. terima kasih kerana dapat menabur bakti di bumi pakistan yang penuh dgn kesedihan ketika ini, hanya solat hajat dan doa sy kirimkan buat rakyat pakistan. semoga kanak-kanak dan ibu-ibu di sana dapat mnghadapi ujian ini dengan tabah dan dilindungkan tuhan dr kehampaan. semoga mereka beroleh kebahagian selepas ini, aminnn
Post a Comment