Pages

Monday, October 4, 2010

Nino lelaki kerdil di dunia




NAMA Nino sudah dimasukkan dalam buku Guiness World Records sebagai lelaki terpendek di dunia.


EDWARD NINO HERNANDEZ tidak ubah seperti lelaki normal Colombia lain yang gemar menari, mengidamkan sebuah kereta mewah dan ingin mengelilingi dunia.
Bahkan, lelaki berusia 24 tahun itu mempunyai senarai orang ternama yang ingin ditemuinya seperti pelakon lasak Jackie Chan, Sylvester Stallone dan bekas Perdana Menteri Colombia, Alvaro Uribe.
Bagaimanapun, perbezaan ketara dapat dilihat pada lelaki itu berbanding lelaki normal lain adalah dia mempunyai bentuk fizikal yang kecil.
Dengan ketinggian 70 sentimeter (sm) iaitu tinggi sedikit daripada sebuah beg bagasi dia dinobatkan secara rasmi sebagai lelaki paling pendek di dunia oleh Guinness World Records baru-baru ini.
Lebih dikenali sebagai Nino, dia hanya mempunyai berat 10 kilogram (kg) berjaya mengatasi rekod lama disandang seorang warga China, He Pingping setinggi 74 sm yang meninggal dunia pada 13 Mac lalu.
Ibu bapa Nino berkata, doktor-doktor tidak dapat menjelaskan punca yang menyebabkan dia menjadi begitu rendah.
"Dia tidak membesar sejak berusia dua tahun," kata ibunya, Nohemi Hernandez, 43, mengenai anak sulung daripada lima beradik itu.
Begitupun, rekod dipegang Nino dijangka tidak akan kekal lama apabila seorang warga Nepal, Khagendra Thapa Magar yang mempunyai ketinggian 56 sm bakal diiktiraf Guinness sebagai remaja paling pendek di dunia apabila dia berumur 18 tahun pada 14 Oktober depan.
"Mereka tidak pernah memberi diagnosis kepada kami," kata wanita itu di pangsapurinya di Bosa, kawasan majoriti penduduk miskin di selatan Bogota.
Ujar ibunya, Nino dilahirkan dengan berat hanya 1.5 kg dan setinggi 38 sm serta tidak pernah membesar selepas berusia dua tahun.
Nohemi berkata, doktor-doktor di Universiti Kebangsaan mengadakan kajian mengenai Nino sehingga berusia tiga tahun sahaja dan hilang minat terhadap anak sulungnya selepas itu.
Dia dan suami, merupakan pengawal keselamatan pernah kehilangan seorang anak perempuan yang mempunyai ketinggian sama seperti Nino pada tahun 1992 semasa berumur setahun.
Derita katarak
Anak bongsu pasangan tersebut Miguel Angel, 11, pula mempunyai ketinggian 93 sm malah mempunyai air muka serupa dengan Nino. Tiga lagi anak lelaki mereka adalah seperti kanak-kanak normal.
"Saya berasa gembira kerana saya unik," kata Nino.
MEJA dan kerusi khas disediakan untuk Nino menjamu selera.


Bagaimanapun, Nino mempunyai masalah kesihatan iaitu katarak pada kedua-dua belah matanya sehingga menyebabkan penglihatannya kabur dan memerlukan pembedahan segera yang tidak mampu ditanggung keluarganya.
"Dia tidak dapat melihat dengan baik. Dia juga tidak boleh membaca," ujar ibunya sambil memberitahu kedua-dua belah mata Nino juga sentiasa berair.
Selain daripada matanya, Nino tidak menghadapi masalah kesihatan lain.
Dia mempunyai pemikiran yang tajam dan sentiasa ketawa. Bagaimanapun, agak sukar untuk memahami pertuturan lelaki kerdil itu dan Nino mempunyai jari jemari kontot sehingga menyukarkannya menulis.
Lelaki kerdil itu juga terpaksa mengulang selama beberapa tahun alam persekolahan sebelum berhenti ketika berada pada gred lapan.
Begitupun, Nino merupakan seorang yang mudah mesra dengan rakan-rakan sebaya.
Walaupun tidak pernah menjejak kaki di luar Colombia, lelaki itu gemar melancong dan bermain domino serta dam.
"Dia hanya akan berasa tertekan apabila terkurung di dalam rumah," kata ibunya lagi.
Jadi pelakon
Lelaki paling pendek di dunia itu turut mempunyai buah hati, Fanny yang berusia 18 tahun dan setinggi 1.5 meter.
Nino tidak menjadikan keadaan fizikal penghalang mencari rezeki, malah lelaki kerdil itu memperoleh sedikit wang sebagai penari di sebuah pasar raya. Dia juga menjadi pelakon dalam sebuah filem mengenai samseng dadah.
Dalam filem tersebut, Nino melakonkan watak samseng dadah kerdil dan terlibat dalam aksi tembak menembak.
Nino tersenyum panjang apabila memikirkan idea mengenai lebih banyak peluang berlakon dan perhatian dalam hidupnya.
Bahkan, dia sudah biasa dengan perhatian yang diberikan dan dirakam imej oleh orang ramai.
Bagaimanapun, menjadi lelaki paling pendek di dunia mempunyai kelemahan tersendiri.
"Ia merimaskan saya apabila orang sentiasa memegang dan mengangkat saya," katanya.

No comments: