NEW YORK - Lakaran artis menunjukkan sebuah pusat Islam termasuk masjid yang dirancang dibina dekat lokasi runtuhan bangunan World Trade Centre (WTC) di sini mempunyai seni bina futuristik.
"Saya tidak berfikir bahawa selepas benda ini (pusat Islam itu) siap dibina, akan terdapat pihak yang mengadakan piket," kata pemaju projek berkenaan, Sharif El-Gamal kepada agensi berita AP.
Sharif berkata, majlis pecah tanah untuk masjid itu mungkin diadakan dua atau tiga tahun lagi atau kemungkinan dalam tempoh terdekat.
Empat daripada 16 tingkat itu akan dipenuhi dengan pusat renang, sukan dan kecergasan.
Bangunan itu turut dilengkapi dengan tingkat untuk pusat penjagaan kanak-kanak dan taman permainan.
Kebanyakan ruang dalam bangunan itu akan dijadikan restoran, sekolah memasak, studio artis, ruang pameran dan auditorium untuk majlis kebudayaan.
Menurut Sharif, idea kemudahan itu adalah bagi menarik kehadiran penduduk tempatan yang mencari tempat untuk bekerja.
Beliau menyatakan, idea bangunan itu juga adalah untuk menjadikan ia sebagai tempat pasangan suami isteri Muslim menghabiskan masa bersama pada waktu malam.
Masjid di dalam bangunan itu akan terletak di ruang bawah tanah.
Tingkat 12 bangunan itu akan dijadikan tempat memperingati serangan pengganas yang memusnahkan WTC pada 11 September 2001 sehingga mengakibatkan 3,000 orang terbunuh.
Tempat memperingati serangan itu dibuka untuk semua penganut agama selain Islam.
Pusat itu menentapkan sasaran untuk memperoleh AS$27 juta (RM83.36 juta) melalui rayuan sumbangan pelbagai pihak.
Namun, sebanyak AS$120 juta (RM370 juta) hingga AS$140 juta (RM432.25 juta) diperlukan untuk kerja-kerja pembinaan yang akan diperoleh dengan mengeluarkan bon dalam perbankan Islam.
Pembinaan kompleks itu sebelum ini mendapat bantahan daripada beberapa pihak yang menganggap pembinaannya tidak sesuai dibina dekat dengan runtuhan WTC kerana ia dipercayai dimusnahkan oleh penganas-pengganas beragama Islam. - Agensi
1 comment:
ape ni...????
Post a Comment