JAKARTA - Sebuah gunung berapi di Pulau Sumatera, Indonesia meletus buat pertama kali dalam tempoh 400 tahun semalam. Gunung itu mengeluarkan asap dan debu ke udara sekali gus menyebabkan ribuan penduduk bertindak menyelamatkan diri dengan meninggalkan rumah masing-masing.
Menurut beberapa pegawai, pemerintah Indonesia mengeluarkan satu amaran selepas Gunung Sinabung itu meletus dan menyebabkan kawasan di sekitarnya diselubungi asap hitam.
Setakat ini tidak ada sebarang kecelakaan sama ada melibatkan kematian atau kecederaan dilaporkan kepada pihak berkuasa.
"Ia amat berbahaya. Justeru kami meningkatkan amaran ke peringkat paling tertinggi atau amaran merah," kata Ketua Pusat Amaran Gunung Berapi Indonesia, Surono.
"Dari kawah itu, gunung itu menghaburkan asap dan debu 1,500 meter ke udara," tambahnya.
"Pada mulannya, kami menganggap debu dan asap itu berlaku akibat hujan tetapi kini kami tahu tekanan yang menyebabkan ia berlaku adalah daripada magma," jelas Surono.
Dia berkata, Gunung Sinabung yang setinggi 2,460 meter di utara Sumatera itu tidak pernah meletus lebih 400 tahun tetapi ia kini menunjukkan tanda-tanda letusan.
Kira-kira 9,300 orang sudah dipindahkan dari beberapa buah kampung ke bandar-bandar termasuk di Berastagi dan Kabanjahe.
"Debu itu tersebar pada jarak sehingga 30 kilometer dari gunung berapi. Ramai penduduk kampung yang dipindahkan itu adalah petani," jelasnya. - AFP
No comments:
Post a Comment