Pages

Tuesday, August 31, 2010

Gunung Sinabung terus hamburkan abu





GUNUNG Sinabung memuntahkan asap dan debu ke udara di Karo dekat Medan, Sumatera, Indonesia, semalam. - AP



KABANJAHE 30 Ogos - Gunung berapi Sinabung di Indonesia terus menghamburkan asap dan abu jauh ke udara hari ini, menyebabkan penerbangan tergendala dan beribu-ribu lagi penduduk melarikan diri ke pusat perlindungan sementara.
Syarikat penerbangan diberi amaran supaya mengelakkan Gunung Sinabung di Sumatera Utara apabila ia meletus pada hari kedua selepas kembali aktif buat kali pertama dalam tempoh empat abad, semalam.
"Ia meletus lagi pada 6.30 pagi ini (7.30 pagi waktu Malaysia) dan letusan berlaku selama kira-kira 15 minit.
"Asap dan abu menjulang sekurang-kurangnya 2,000 meter," kata pakar gunung berapi kerajaan, Agus Budianto.
Letusan itu lebih besar daripada letusan semalam apabila Sinabung kembali aktif buat kali pertama sejak 1600, menjadi gunung terbaru dalam senarai 69 gunung berapi aktif di Indonesia.
Pesawat diarah menjauhi kawasan gunung berapi dan pelawat ke Sumatera Utara diberi amaran mengenai kemungkinan penerbangan mereka tergendala, kata jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan.
"Lalu lintas udara keluar masuk ke wilayah itu boleh terjejas, semuanya bergantung kepada arah angin," katanya.
Beberapa penerbangan domestik termasuk ke ibu kota wilayah, Medan terpaksa dibatalkan disebabkan asap tebal.
Jumlah penduduk yang ditempatkan di pusat perlindungan sementara meningkat kepada 21,000 orang, kata pegawai pengurusan bencana, Andes Mbaga.
Sebanyak 16 pusat perlindungan didirikan untuk menempatkan penduduk yang meninggalkan kampung mereka apabila abu dan batu mula dihamburkan ke kawasan sekitar awal semalam. - AFP

No comments: